Berita

Mahasiswa maut terjatuh dari tingkat 34 kondominium

MANGSA terjatuh ketika sedang mengambil baju miliknya di balkoni.
- Diterbit 27 Disember 2023 11:05 AM MYT

SEORANG mahasiswa sebuah universiti maut selepas terjatuh dari tingkat 34 sebuah kondominium di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, di sini, dipercayai semasa hendak mengambil pakaiannya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya berkata polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 8.17 malam, dan mayat remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditemukan di tingkat bawah bangunan 39 tingkat berkenaan.

“Dua saksi kejadian mendakwa remaja itu ingin mengambil sehelai baju-T yang terjatuh di kaki lima balkoni. Dia memanjat sebuah meja dan kemudian memanjat pagar balkoni, bagaimanapun dikatakan hilang keseimbangan dan terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata mayat telah dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas