Artikel

Lencana Manikayu rai 100 tahun

KAMARULArifin (tiga dari kiri) bersama barisan pemimpin kanan pengakap Malaysia pada Majlis Indaba dan Sambutan 100 Tahun Latihan Sedunia Peringkat Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 12 Disember 2019 7:14 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pengakap telah lama dikenali sebagai organisasi yang berjaya mendidik golongan muda menjadi individu yang baik serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazily Ismail Bakti berkata, banyak bukti yang menyokong kepada perkara tersebut, sama ada di dalam mahu pun di luar negara.

“Antara yang berjaya termasuk lah ahli perniagaan dan hartawan terkenal dunia, Bill Gates serta angkasawan Neils Amstrong dan Buzz Aldrin iaitu manusia pertama dan kedua yang menjejakkan kaki ke bulan.

“Selain itu, penerima-penerima Hadiah Nobel seperti Peter Agre, William Moerner dan Thomas Cech adalah ahli ‘Eagle Scouts’ iaitu setaraf dengan Pengakap Diraja di negara ini,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Indaba dan Sambutan 100 Tahun Latihan Sedunia Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, bekas Pengerusi Majlis Pengakap Sedunia Tan Sri Kamarul Arifin Mohamed Yasin dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Zakran Abdul Manan.

Ujar Ahmad Shazily, ahli pengakap di Malaysia juga tidak terkecuali hebatnya iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, ahli perniagaan tekenal, Tan Sri Mustapha Kamal dan Tan Sri Halim Mazmin serta Tan Sri Kamarul Arifin.

Sementara itu, Zakran berkata, penganjuran acara yang julung kali diadakan itu dapat memberi peluang kepada pemimpin pengakap dan pemegang Anugerah Manikayu di Kuala Lumpur untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain.

“Melalui acara ini juga, ia dapat mewujudkan kerjasama berpasukan untuk melatih pengakap di Kuala Lumpur dengan lebih berkesan.

“Selain itu, majlis turut memberi penghargaan kepada pemimpin dan jurulatih yang banyak menyumbang khidmat bakti kepada anak-anak pengakap di sini,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 14 orang pengakap telah dianugerahkan Lencana Manikayu.

Anugerah berkenaan diberikan kepada orang-orang lama supaya dapat menaikkan kembali semangat mereka di samping menyemarakkan semangat pelapis muda.

Pemegang Manikayu adalah orang yang berkelayakan untuk membimbing pengakap-pengakap muda dalam kaedah pendidikan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas