Artikel

61 pasangan rakam detik indah di Dataran Merdeka

SERAMAI 61 pasangan yang diraikan dalam Majlis Walimatul Urus Ramah Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Dataran
- Diterbit 12 Disember 2019 7:11 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Bersan­ding beramai-ramai merupakan detik paling berharga dan terindah bagi 61 pasangan yang diraikan dalam Majlis Walimatul Urus Rahmah Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Dataran Merdeka di sini baru-baru ini.

MUHAMMAD Exzual Mohd. Fathi dan Norashikin M. Darwis

Bagi Muhammad Exzual Mohd. Fathi, 24, dia tidak menyangka diri­nya dan pasangan akan dipilih pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi menyertai program tersebut.

“Sebelum ini, kami telah memohon Skim Bantuan Perkahwinan dengan pihak MAIWP, namun permohonan tersebut tidak berjaya.

“Setelah lima bulan, kami tiba-tiba dihubungi MAIWP dan mereka me­nawarkan untuk menyertai majlis ini,” katanya kepada Wilayahku.

Pasangannya Norashikin M. Darwis, 22, memberitahu, inisiatif yang di­sediakan MAIWP amat baik untuk golongan muda yang baru berkahwin.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta harga barangan yang meningkat, maka inisiatif MAIWP ini dapat membantu pasangan muda seperti kami untuk membuat majlis kenduri seperti ini.

“Selain itu, kelebihan lain yang kami terima adalah bantuan kewa­ngan, bermalam di hotel dan keperluan lain serta dibawa ke Dataran Merdeka dengan menggunakan bas Kuala Lumpur Hop On Hop Off,” katanya.

Dalam pada itu, kemeriahan majlis tersebut juga diserikan dengan pernikahan satu daripada 61 pasangan iaitu, Muhammad Rizuan Osman dan Nursyareza Mansor yang disempurnakan dengan sekali lafaz.

MUHAMMAD Rizuan Osman dan Nursyareza Mansor

Muhammad Rizuan berkata, beliau dan keluarga berterima kasih kepada MAIWP kerana inisiatif yang diberikan dapat meringankan bebannya untuk melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya.

Malah katanya, pengalaman itu pastinya menjadi kenangan bermakna untuk dikongsikan bersama keluarga apabila disandingkan beramai-ramai.

“Tidak pernah terfikir untuk bersanding beramai-ramai dan perasaan kami sangat teruja. MAIWP bukan sahaja meraikan pengantin tetapi juga keluarga kami.

“Mereka berikan tempat penginapan di hotel serta set persalinan persandingan untuk saya dan isteri. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak MAIWP atas ‘hadiah’ perkahwinan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Aziz Jusoh berkata, kesemua pasangan pengantin terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin mualaf dan golongan kurang berkemampuan (B40).

“Bantuan itu bertujuan meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus,” katanya.

Hadir sama memeriahkan majlis, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas