Artikel

Iqbal Iqnada bijak rebut peluang keemasan

IQBAL IQNADA
- Diterbit 12 Disember 2019 7:17 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

BERPELUANG menyanyi di hadapan mantan Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika berusia 12 tahun semestinya menyuntik semangat Iqbal Iqnada untuk terus mengorak langkah dalam bidang seni suara.

Menurut remaja berusia 20 tahun ini, peluang tersebut merupakan mimpi indah yang tidak pernah terlintas di fikiran kanak-kanak se­usianya ketika itu.

“Saya memang minat menyanyi sejak usia enam tahun lagi. Apabila keluarga menyedari kebolehan tersebut mereka tidak putus-putus memberi semangat.

“Malah ketika itu, saya juga sudah mula menerima tawaran menyanyi di sekitar Alor Setar, Kedah. Pelawaan untuk mengadakan persembahan di hadapan baginda sultan ketika itu amat mengejutkan,” ujarnya.

Pernah dipuji oleh Almarhum kerana pandai menyanyi, Iqbal menjadikan pujian tersebut sebagai kata-kata perangsang untuknya terus bergiat aktif dan mencipta nama sebagai penyanyi.

“Selain daripada menerima pujian, saya masih ingat Almarhum juga turut menitipkan pesan agar berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang yang diminati kerana terlalu banyak persaingan,” ujarnya.

Mula membina nama dalam program Ceria Popstar Musim Kedua anjuran Astro pada tahun 2014, kini anak kelahiran Alor Setar ini sudah pun melancarkan single keduanya berjudul ‘Si Cantik’.

“Alhamdulillah, impian saya untuk bergelar penyanyi tercapai dan kini sedang berusaha untuk menempatkan diri dalam bidang seni yang penuh dengan saingan ini,” ujarnya.

Turut berbakat dalam bidang lakonan, Iqbal yang kini bernaung di bawah label Map Music pernah membintangi telemovie berjudul Puasa Oh Puasa dan Oh Raya.

“Saya sentiasa ingin mencuba bidang baharu. Tidak kisah sama ada bidang nyanyian mahu pun lakonan yang penting saya ada peluang untuk menya­lurkan bakat yang ada,” ujarnya yang dikatakan memiliki wajah se­iras bekas penyanyi kumpulan Spin, Achik.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas