Berita

Laluan taman sesak

IDRIS menunjukkan laluan simpang empat yang menghubungkan laluan dari Taman Bukit Anggerik dan Len Seng
- Diterbit 16 Januari 2020 9:44 AM MYT

“Pengguna jalan raya tidak endah keselamatan penduduk

BANDAR TUN RAZAK – Pembangunan demi keselesaan masa hadapan semestinya dialu-alukan semua golongan.

Namun, pelaksanaannya perlulah mengikut kriteria dan garis panduan yang ditetapkan terutama dalam aspek keselamatan.

Ini kerana, pembangunan yang melibatkan penempatan penduduk amat membahayakan seperti pembinaan Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang yang jajarannya bermula di Sri Petaling hingga Ulu Kelang Interchange.

Menurut Pegawai Khas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Idris Moktar, pembinaan tersebut mengakibatkan kesesakan jalan raya di taman-taman perumahan berhampiran seperti Taman Bukit Anggerik dan Len Seng.

Ujarnya, kesesakan berlaku pada waktu puncak iaitu sekitar pukul 6.30 hingga 9.30 pagi dan 5 .30 hingga 6 petang.

“Bagi mengelakkan kesesakan itu, pengguna jalan raya menggunakan jalan singkat yang ada.

“Malangnya, laluan tersebut betul-betul di hadapan rumah penduduk sehingga menyukarkan mereka keluar melakukan aktiviti harian,” katanya kepada Wilayahku.

Idris memberitahu, keadaan itu amat membimbangkan penduduk setempat khususnya membabitkan hal kecemasan seperti sakit selain khuatir kemalangan jiwa berlaku.

Ujar beliau, pihaknya juga pernah membuat aduan dan mengadakan perbincangan dengan pemaju yang turut disertai wakil dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi ia tidak diendahkan.

Ekoran itu, beliau berharap, tindakan tegas dapat dilakukan DBKL atau mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain seperti trafik bagi mengelakkan keadaan yang sama berlarutan sehingga pembinaan selesai.

“Kalau boleh letak polis atau penguat kuasa DBKL pada waktu puncak sahaja. Langkah itu supaya pengguna jalan raya tidak menggunakan laluan taman sebagai jalan alternatif ke ibu negara.

“Saya berharap terdapat lencongan lain dilakukan bagi menghalang penggunaan jalan taman selain membantu mengelakkan kesesakan jalan raya di sepanjang laluan berkenaan,” katanya.

Tambah Idris, keperihatinan semua pihak amatlah diharapkan dalam usaha menarafkan ‘Kemakmuran Bersama’ malah dengan adanya kawalan trafik di lokasi sedikit sebanyak membantu kelancaran perjalanan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas