Berita

Penduduk kesal tiada tindakan selepas dua aduan

MAT ROLZAMAN menunjukkan ‘man hole’ yang berada di tengah jalan
- Diterbit 16 Januari 2020 9:42 AM MYT

SEGAMBUT – “Aduan berkenaan ‘man hole’ dibuat sejak awal tahun lalu dan lawatan tapak sudah dua kali dilakukan, namun sehingga kini tiada baik pulih atau penyelenggaraan dilakukan,” kata penduduk Kampung Bukit Lanjan di sini, Mat Rolzaman Saleh.

Katanya, masalah tersebut berlaku di Jalan 2, 4 dan 6 Bukit Lanjan yang mana lubang saluran air yang ditutup dengan besi longkang menjadi semakin dalam akibat kesan turapan jalan.

Malah ujarnya, akibat lekukan itu, seorang warga emas cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar lekuk di Jalan 4 yang berada di tengah laluan.

“Aduan bertulis dihantar ke Pejabat Ahli Parlimen Segambut pada 27 Ogos lalu dan ia merupakan aduan kedua.

“Turapan jalan di sini dilakukan sebanyak empat kali. Pihak yang melakukannya tidak mematuhi kriteria turapan dan menyebabkan lubang saluran air semakin dalam,” katanya.

Selain itu, Mat Rolzaman turut memaklumkan bahawa besi penutup itu juga sudah berkarat dan ada yang reput.

Sehubungan itu, dia bersama penduduk kampung yang lain berharap baik pulih dapat dilakukan dengan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku sehingga memudaratkan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas