Berita

KWP sasar 2 juta warga Wilayah Persekutuan terima vaksin

- Diterbit 27 Mei 2021 5:00 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) mensasarkan imuniti kelompok dapat dicapai lebih awal untuk semua warga kota menjelang Oktober ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata pihaknya meletakkan sasaran lebih 80 peratus atau kira-kira 2 juta penduduk terutamanya di Kuala Lumpur telah menerima suntikan vaksin COVID-19

“Usaha itu sedang giat dirancang melalui Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah dan penglibatan daripada beberapa klinik swasta sebagai alternatif lain kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang sedia ada.

“Kita akan sediakan tujuh trak vaksin bergerak dan ada lagi tujuh klinik swasta lain yang sama akan terlibat dengan program vaksinasi secara percuma ini, dengan purata  4,000 hingga 5,000 sehari suntikan dos sehari,” katanya pada sidang media selepas meninjau program vaksinasi untuk golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Anjung Kelana, Taman Desa hari ini.

Jelasnya, bagi melaksanakan program itu, beliau telah mendapatkan persetujuan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Program vaksinasi COVID-19 di klinik swasta turut akan dimulakan dengan 29 daripada 60 permohonan telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas