Berita

KWP sediakan ujian pengesanan COVID-19 percuma untuk warga kota

- Diterbit 27 Mei 2021 5:04 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan menjalankan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RTK Antigen untuk seluruh wargakota secara percuma sebagai langkah untuk membendung penularan wabak tersebut.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya menjangkakan pusat ujian tersebut akan mula beroperasi dalam jangka masa dua hingga tiga minggu akan datang.

“Ketika ini, saya sedang mengadakan penyusunan dan penjadualan berkenaan dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pelaksanaan (program)

“Saya juga sedang mendapatkan sukarelawan yang akan di latih terlebih dahulu bagaimana kaedah untuk menggunakan kit tersebut sebelum program itu bermula,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Program Vaksinisasi untuk gelandagan di Anjung Kelana hari ini.

Menurut Annuar, sebagai permulaan pihaknya telah menyediakan kira-kira 20,000 unit kit pengesanan ujian RTK Antigen yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa.

“Ujian ini akan diberikan percuma 100 peratus kerana kos nya agak mahal dan ada dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur yang tidak berkemampuan terutama di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

“Kami sedang menentukan dan mengenalpasti pusat ujian untuk program ini di setiap kawasan parlimen dan kami akan menyediakan stok beberapa ribu kit di situ,

“Mungkin satu hari mereka boleh menguruskan ujian 200 hingga 300 orang dan boleh buat untuk satu tempoh yang tertentu.

“Saya akan lihat bagaimana sambutan orang ramai terhadap program itu. Sekiranya sambuatan menggalakkan, maka kita akan tambah lagi,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh dan Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anwar Mohd Zain.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas