Berita

KWP, KKR bentang status pembinaan Jambatan Labuan- Sabah dalam tempoh terdekat

KERAJAAN sentiasa mengambil serius dan berusaha untuk merealisasikan pelaksanaan.
- Diterbit 30 Jun 2022 8:56 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membentangkan status terperinci mengenai cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

KWP dalam satu kenyataan memaklumkan, proses iklan Request for Proposal (RfP) bagi cadangan pembinaan jambatan itu dilaksanakan pada 26 April hingga 1 November tahun lalu.

Katanya, hasil daripada RfP itu kerajaan melalui KKR telah menerima cadangan daripada tiga syarikat pembida yang berminat.

“Proses penilaian teknikal dan komersial RfP pembida-pembida telah dilaksanakan dan keputusan penilaian tersebut telah diperakukan oleh Jawatankuasa PEMANDU (Performance Management and Delivery Unit).

“Keputusan terperinci akan dibentangkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerja Raya kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya, hari ini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil serius dan berusaha untuk merealisasikan pelaksanaan pembinaan jambatan berkenaan.

Malah perancangan pembinaan jambatan telah dinyatakan secara jelas dalam Labuan Development Blueprint 2030 dan Rancangan Tempatan 2030.

“Cadangan pembinaan diambil kira dan diterapkan dalam penyediaan Rancangan Pembangunan Labuan 2040 yang sedang disediakan oleh Perbadanan Labuan.

“Pihak kerajaan juga sentiasa peka dan sedar dengan kepentingan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah yang bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di samping pelbagai impak positif serta mengurangkan jurang sosio ekonomi dan rentas wilayah,” katanya.  — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas