Berita

PPj rai lima pemenang SMArt Botanic Edu-CARE

ANTARA pemenang yang diraikan mengambil peluang bergambar bersama sejurus majlis tamat di Dewan Seri Seroja, Presint Diplomatik, Puyrajaya hari ini.
- Diterbit 30 Jun 2022 8:13 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) meraikan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya yang dinobatkan sebagai pemenang Program SMArt Botanic Edu-CARE Majlis Penghargaan bagi Program SMArt Botanic Edu-CARE di Dewan Seri Seroja, Presint Diplomatik Putrajaya.

PPj berkolaborasi dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan menganjurkan Program SMArt Botanic Edu-CARE untuk menyemai pengetahuan berkaitan pengetahuan botani asas dan latihan praktikal tentang reka bentuk dan pengurusan landskap kepada guru-guru dan pelajar sekolah.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, program ini adalah bagi melatih pelajar SMK Putrajaya untuk membina landskap mini taman dengan idea yang kreatif, kondusif dan lestari di samping membantu dalam mengindahkan persekitaran sekolah masing-masing.

“Sebanyak sembilan SMK Putrajaya telah menyertai program ini dan lima sekolah telah diumumkan sebagai pemenang dalam pembinaan taman mini berpandukan kepada amalan hortikultur serta reka bentuk landskap yang terbaik dan lestari dalam penggunaan barangan terbuang atau kitar semula.

“Kesemua sekolah diperuntukkan selama lima minggu untuk menyiapkan cadangan mereka bentuk landskap taman mini dan proses ini melibatkan perbincangan serta lawatan tapak ke sekolah bersama wakil PPj, pensyarah, pelajar UPM, guru dan pelajar sekolah menengah masing-masing berkenaan kesesuaian tapak serta konsep yang dipersetujui oleh pihak sekolah,” katanya dalam Majlis Penghargaan bagi Program SMArt Botanic Edu-CARE hari ini.

Antara sekolah yang dinobatkan sebagai pemenang adalah SMK Putrajaya Presint 5(1) (Juara), SMK Putrajaya Presint 9(2) (Naib Juara) , SMK Putrajaya Presint 16(1) (Tempat Ketiga), SMK Putrajaya Presint 11(1) (Merit) dan SMK Putrajaya Presint 8(1) (merit).

Juara pertandingan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500 beserta trofi, RM1,000 bagi Naib Juara, manakala Tempat Ketiga RM700 dan hadiah merit pula sebanyak RM500.

Turut hadir, Naib Presiden Jabatan Landskap dan Taman, LAr. Abd Aziz Buang; Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya LAr. Dr Suhardi Maulan dan Timbalan Pengarah Perancangan Jabatan Pendidikan Wilayah Putrajaya, Dr Roslan Hussin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas