Berita

KWP bakal bangunkan Pusat Transformasi Gelandangan

MENTERI Wilayah Persekutuan, menyampaikan "Microgreen kit" kepada gelandangan yang terpilih untuk menyertai Kebun Bandar ketika hadir melawat Gelandangan yang ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana.
- Diterbit 13 Februari 2021 8:16 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) bakal membuka Pusat Tranformasi Gelandangan yang sebagai usaha untuk membantu golongan tersebut keluar dari alam kegelandangan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pusat transformasi itu bakal dikenali sebagai Anjung Kelana dan ia dijangka beroperasi pada 1 Mac ini.

“Ia adalah susulan daripada Anjung Singgah yang terletak di Jalan Pahang dimana gelandangan akan ditempatkan disana dan diberi makan dan minum.

“Manakala Anjung Kelana ini adalah program berkembar dan ia mengkhususkan untuk gelandangan yang terpilih dan setelah melalui saringan bagi menilai tahap keupayaan mental, fizikal dan produktif untuk diberikan pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar setelah menyampaikan Microgreen Kit kepada 23 gelandangan di Pusat Gelandangan Sementera (PGS) dekat Sentul Perdana hari ini.

Beliau berkata, sebahagian daripada gelandangan tersebut akan bekerja dalam Program Pertanian Bandar serta kerja-kerja lain yang boleh dilaksanakan di Anjung Kelana.

“Misalnya kita pernah mengadakan program pembukusan sarung tangan oleh Syarikat Top Glove yang dilakukan oleh gelandangan yang boleh bekerja.

“Malah sekiranya terdapat syarikat-syarikat pembukusan atau semi finished produk, mereka boleh menghantar produk ke pusat tersebut untuk membolehkan gelandangan bekerja kerana di situ turut di sediakan ruang bagi tujuan itu,” katanya.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Dalam pada itu, Annuar berkata, pihaknya telah mengenalpasti 92 ekar tanah di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya yang boleh digunakan untuk projek pertanian bandar.

“Kira-kira 67 ekar tanah kosong di Kuala Lumpur telah pun dikenalpasti yang boleh dimajukan untuk projek tersebut.

“Manakala sebanyak 25 ekar tanah di Putrajaya mungkin boleh dilaksanakan secara individu, komuniti dan ia dibuka untuk komersial,” katanya. – AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas