Berita

Golongan berpendapatan rendah, B40 harus diberi keutamaan terima vaksin COVID-19

- Diterbit 13 Februari 2021 9:16 AM MYT

GOLONGAN berpendapatan rendah dan B40 yang menetap di kawasan berkepadatan tinggi harus diberikan keutamaan untuk menerima vaksin COVID-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata beliau akan berunding dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bagi memastikan cadangan itu diterima.

“Oleh kerana kita di kawasan padat penduduk dan menanggung risiko yang tinggi sebab kita hidup sebelah menyebelah dengan pendatang asing, pemegang kad UNHCR, pekerja di tapak pembinaan yang telah terbukti berlaku kes yang banyak.

“Maka saya mahu jaminan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memberikan keutamaan dan mendahulukan mereka yang berisiko tinggi dimana tinggal di kawasan penduduk yang padat dan golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam dalam sidang akhbar setelah menyampaikan Microgreen Kit kepada 23 gelandangan di Pusat Gelandangan Sementera (PGS) dekat Sentul Perdana hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Dalam pada itu, Annuar berkata, langkah kerajaan persekutuan yang memutuskan untuk memberikan vaksin kepada semua orang termasuk bukan warganegara adalah satu tindakan tepat memandangkan jumlah kes melibatkan bukan warganegara agak tinggi.

“Pekerja bukan warganegara sahaja dalam sektor binaan ada beratus ribu, saya nak pastikan dasar itu dilaksanakan kerana memang ada merit.

“Kalau kita beri imunisasi hanya kepada warganegara, penyakit berjangkit ini tidak selesai masalah kecuali kita lakukan pada semua yang bermastautin di negara ini,”.

“Keputusan itu diambil dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini,” katanya.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam berkata, Malaysia hanya akan selamat daripada pandemik jika penduduk termasuk bukan warganegara yang menetap di negara ini turut menerima vaksin.

Kerana itu pemberian vaksin percuma kepada bukan warganegara perlu dilakukan kerana rakyat Malaysia tidak selamat sehinggalah semua orang selamat.– AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas