Berita

Kurang ilmu, kesedaran hadkan pembabitan inklusif dalam SDG

PUTRAJAYA 12 OGOS 2020 - Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada persidangan "Conference on Future Of Work for Tourism Sector In Malaysia (Post Covid-19)" dan Pelancaran Big Data Analytics (BDA) di Hotel Marriot, Putrajaya, di sini, hari ini.
- Diterbit 17 Februari 2021 7:45 AM MYT

KURANG ilmu serta kesedaran dalam kalangan masyarakat mengehadkan pembabitan inklusif mereka dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Dalam mengulas sistem pemantau kemajuan SDG Malaysia (SDG Dashboard) beliau berkata kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti awam mempunyai tanggungjawab bersama dalam mencapai SDG.

“Ia merupakan tanggungjawab semua pihak untuk memelihara alam sekitar bagi membolehkan planet ini diwarisi dalam keadaan yang baik kepada generasi masa depan, yang merupakan salah satu bidang fokus SDG,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Perangkaan hari ini memuat naik 128 petunjuk SDG di peringkat nasional dan 18 petunjuk di peringkat daerah, dengan data merangkumi siri data dari 2016 hingga 2019.

SDG Dashboard merupakan inisiatif bagi memupuk dan menambah baik kesedaran berkaitan SDG, dengan menyediakan visual interaktif bagi membantu pengguna yang ingin mendapatkan maklumat mengenai petunjuk kepada 17 matlamat di peringkat nasional dan peringkat pentadbiran daerah.

Mohd Uzir berkata pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 adalah penting bagi mewujudkan data terkini, di samping menjadi asas kepada petunjuk SDG.

Sehubungan itu beliau menggalakkan mereka yang masih belum mengambil bahagian dalam banci itu supaya mengambil peluang untuk mengisi borang banci berkenaan secara dalam talian (e-Census) yang telah dibuka semula. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas