Berita

KKMM, KPN bangunkan kandungan pendidikan Rukun Negara

- Diterbit 17 Februari 2021 7:13 AM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berganding dengan Kementerian Perpaduan Negara, membangunkan kandungan pendidikan Rukun Negara dalam usaha untuk memantapkan kefahaman masyarakat tentang Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kandungan pendidikan yang dibangunkan itu bukanlah satu subjek baharu yang akan diperkenalkan di sekolah, tetapi ia akan menjadi salah satu topik dalam pelbagai mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Bahasa Melayu.

“Kita sebelum ini mencadangkan supaya pendidikan Rukun Negara diwujudkan semula yang di dalamnya termasuk bab Perlembagaan Persekutuan, kerana kita dapati ramai yang belum memahami perlembagaan termasuk sesetengah pemimpin politik,” katanya kepada Bernama.

Pada 6 Ogos tahun lepas, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kerajaan bercadang mengembalikan semula mata pelajaran yang berkisar kepada amalan Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara, seperti yang pernah ada suatu ketika dahulu.

Halimah dilaporkan berkata perkara itu akan diperhalusi melalui penubuhan jawatankuasa teknikal kementeriannya bersama tiga kementerian lain iaitu, KKMM, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Pendidikan.

Saifuddin berkata semua pihak termasuk ahli politik perlu memahami Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhan, dan bukannya memetik atau menafsirkannya untuk tujuan tertentu termasuk yang boleh mengugat perpaduan negara ini.

“Ada waktunya perlembagaan itu dipetik tetapi separuh atau disalah tafsir, sedangkan perlembagaan telah ditulis dengan begitu baik sekali.

“Ini termasuk mengambil kira kedudukan kaum majoriti, kaum minoriti serta agama yang dianuti oleh mereka… ia telah ditulis dengan jelas tetapi kurang difahami,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyebut tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, sering dipetik oleh individu tertentu bagi membangkitkan rasa tidak puas hati.

Namun, katanya mereka melupakan tentang kewujudan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang antaranya menyebut tentang perlunya untuk memastikan tidak berlakunya diskriminasi atas kaum dan agama.

“Perkara 3 iaitu agama Islam ialah agama persekutuan tetapi penganut bebas amalkan ajaran agama masing-masing dengan aman dan harmoni pula, sering dipetik separuh.

“Perlembagaan ini ditulis dengan matlamat tertentu dan ia tidak boleh ditafsirkan untuk matlamat lain yang tiada dalam perlembagaan,” katanya, serta menambah rakyat Malaysia akan hidup aman damai sekiranya menghayati setiap perkara yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan.– BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas