Berita

Kukuhkan pasaran insurans kaptif

KEDUDUKAN Labuan sebagai pusat kewangan pesisir mempunyai potensi untuk melonjakkan ekonomi pulau bebas cukai itu. -Gambar hiasan
- Diterbit 7 November 2019 7:36 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) telah mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran insurans kaptif, apabila menguasai 50 peratus formasi dalam bahagian di Asia pada 2018.

Pencapaian tersebut didedahkan melalui satu kertas putih oleh Captive Review yang bertajuk “Memacu Transformasi Kaptif di Asia”.

Menurut kertas putih tersebut, jumlah kaptif di Asia meningkat sebanyak 10 dengan separuh daripada perbadanan ini berdomisil dalam bidang kuasanya, manakala Singapura menyusul pada tempat kedua dengan tiga formasi, kata Labuan IBFC dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Kertas putih itu juga mendedahkan 81 peratus responden menyatakan persekitaran pengawalseliaan sebagai faktor terpenting dalam memilih domisil, yang meletakkan Labuan IBFC, sebuah pengawalseliaan “mid-shore” dalam kedudukan yang terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Inc, Farah Jaafar-Crossby (gambar kecil)berkata, sebagai pusat pengantaraan kewangan pemborongan “mid-shore” yang memberi tumpuan kepada menyampaikan penyelesaian kepada pasaran Asia, Labuan IBFC berada dalam keadaan mantap untuk terus menjadi peneraju kaptif di Asia, terutama memandangkan keperluan asas ekonomi menuntut pemilik kaptif Asia mencari bidang kuasa yang dikawal dengan baik, cekap kos dan sedia membantu.

“Sehingga pertengahan 2019, Labuan IBFC telah mencatat enam formasi kaptif berbanding lima yang didaftarkan untuk keseluruhan 2018.

‘‘Ini mengukuhkan penemuan kajian, yang bukan sahaja menunjukkan pertumbuhan keseluruhan dalam memahami peranan kaptif malah kemampuan sesuatu bidang kuasa untuk terus menarik entiti pengurusan risiko ini,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas