Berita

Institusi uruskan hal ehwal Islam perlu fahami keperluan sebenar ummah – Sultan Nazrin

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah (dua dari kiri), melawat ruang pameran selepas hadir ke Sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). FOTO: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 7 November 2019 7:23 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
[email protected]

PUTRAJAYA – Institusi yang diamanahkan untuk menguruskan hal-hal ehwal Islam di negara ini wajib memahami secara mendalam keperluan sebenar agar program yang diperkenalkan dapat memenuhi keperluan ummah dan tidak sekadar berbentuk luaran, ritual dan kosmetik.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah bertitah, umat Islam hendaklah berani belajar daripada kesilapan masa lalu, yang terlalu cenderung memilih jalan pintas untuk menyelesaikan masalah dan menggunakan kaedah penyelesaian yang tidak kukuh asasnya serta bersifat sementara.

”Kegemilangan Islam pada suatu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi. Kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata.

”Naratif masa hadapan untuk merubah kualiti masyarakat Islam ke arah yang lebih progresif hendaklah dirintis dengan menyuburkan semangat dan naratif realis dan futuris,” kata baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Titah Diraja sempena Sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sultan Nazrin bertitah, survival umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan dengan kaedah menakut-nakutkan sehingga ummah mempunyai prejudis, prasangka, tidak selesa dan merasakan diri sebagai makhluk asing apabila berada dalam situasi yang dikelilingi oleh bukan Islam.

”Perbuatan menakut-nakutkan ummah samalah seperti budaya menakut-nakutkan anak-anak Melayu di kampung pada era pra dan pascamerdeka dengan cerita-cerita puntianak dan hantu kubur, hingga anak-anak tersebut dibunuh keberanian mereka, lalu menjadi pengecut dan penakut.

”Perbuatan menakut-nakutkan ummah secara keterlaluan, teramat merugikan kerana ummah akan hilang keyakinan dan ummah akan gentar untuk bersaing di dunia yang lebih besar apabila berada di luar kepompong kumpulan sendiri,” katanya.

Titah baginda lagi, agama terbukti memiliki satu tenaga kekuatan dan daya tarikan luar biasa untuk boleh menggerakkan orang ramai.

Justeru titah baginda, agama terdedah untuk dijadikan instrumen bagi mencapai cita-cita sempit individu atau kumpulan, jika orang ramai dapat diyakinkan tanpa terlebih dahulu memeriksa fakta dan kesahihan serta tidak berfikir menerima slogan atau retorik agama yang dilaungkan.

”Oleh itu, umat Islam yang cintakan Islam, dan umat Islam yang memahami ajaran Islam yang sebenar, tidak harus berpeluk tubuh, memilih menjadi penonton dan majoriti yang membisu, merelakan Islam dirampas oleh kumpulan-kumpulan yang memanipulasikan Islam untuk tujuan sempit,” tegas baginda.

Dalam hal ini, Sultan Nazrin mengingatkan bahawa umat Islam mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu negara, merangka formula, memperkenalkan program-program Islam yang lebih berkesan dan menyemai kembali pegangan tauhid dan keimanan yang kukuh dalam kalangan ummah agar nilai-nilai murni seperti jujur, amanah serta ikhlas menjadi darah daging kepada setiap umat Islam.

”Umat Islam mempunyai cabaran berat untuk mentransformasikan minda dan jiwa, agar menjadi minda dan jiwa merdeka, meletakkan sepenuh pengabdian kepada Allah, lantas tidak akan bersekongkol sebaliknya berani menentang kemungkaran.

”Setiap keluarga Islam wajib sedar bahawa Islam yang diwarisi secara automatik melalui kelahiran itu, perlu diperlengkap dengan pengisian,” kata baginda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas