Berita

Kuala Lumpur serah trofi WBC2021 kepada Tbilisi

ANWAR (kanan) menyerahkan trofi penganjuran Ibu Kota Buku Dunia (WBC2021) kepada Datuk Bandar Tbilisi, Kakha Kaladze dan disaksikan Koordinator WBC Unesco, Ian Denison di Silk Factory Studio, Tbilisi semalam.
- Diterbit 24 April 2021 3:54 AM MYT

SETELAH setahun penganjuran Ibu Kota Buku Dunia Kuala Lumpur (KLWBC) 2020, Kuala Lumpur menyerahkan trofi penganjuran WBC 2021 kepada Bandaraya Tbilisi, Georgia dalam satu majlis rasmi semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata penganjuran KLWBC2020 sangat mencabar disebabkan pandemik tetapi dalam masa sama, pihaknya berjaya menganjurkan acara itu pada tahun lalu.

“Meskipun ancaman pandemik, kami berjaya melaksanakan lebih 600 acara dan aktiviti dalam penganjuran KLWBC2020.

“Ini jelas tidak mudah, tetapi kami berjaya dan pasukan sekreteriat KLWBC2020 telah menunjukkan prestasi yang lebih baik dan di luar jangkaan,” katanya dalam satu rakaman video yang dipancarkan pada majlis tersebut di Silk Factory Studio, Tbilisi semalam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Tbilis kerana dipilih menjadi penganjur untuk WBC2021.

Terdahulu, Ketua Sekreteriat KLWBC 2020 Anwar Mohd Zain berkata, penganjuran KLWBC 2020 adalah sangat mencabar ekoran seluruh dunia termasuk Kuala Lumpur berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Di sebalik kesukaran yang dihadapi, Kuala Lumpur telah memberikan yang terbaik untuk penganjuran WBC 2020” katanya ketika berucap dalam majlis pemahsyuran Tbilisi sebagai Ibu Kota Buku Dunia semalam.

Anwar kemudiannya menyerahkan trofi penganjuran WBC kepada Datuk Bandar Tbilis, Kakha Kaladze sebagai simbolik bermulanya penganjuran Tbilisi sebagai WBC2021.

Bandaraya Guadalajara (Mexico) turut dinobatkan sebagai World Book Capital untuk tahun 2022

Hadir sama Ketua unit penerbitan UNESCO yang juga Koordinator WBC 2021, Ian Denison dan Presiden Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA), Bodour Al Qasimi.-AZLAN ZAMBRY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas