Berita

Dugaan Ramadan Azzam Sham

- Diterbit 25 April 2021 10:22 PM MYT

SEMUA orang pasti ada kenangan tersendiri setiap kali tibanya bulan Ramadan. Begitu juga dengan penyanyi Azzam Sham yang masih merindui pengalaman di bulan Ramadan sebelum bergelar artis.

Penyanyi lagu Cinta Jangan Pergi yang juga Juara Big Stage 2020, Azzam Sham,23, masih teringat pengalamannya ponteng puasa ketika zaman kanak-kanak.

“Kalau nak diceritakan kenangan bulan Ramadan, pengalaman yang saya tidak boleh lupa sudah tentu ketika mahu belajar berpuasa dulu.

“Entah kenapa saya rasa banyak sangat dugaan berpuasa ketika itu, terutamanya di penghujung Ramadan.

“ Teringat lagi masa itu jalan-jalan nak beli baju raya dengan ayah dan ibu. Saya cakap pada mereka saya masih boleh bertahan sebab nak beli baju raya.

“Hakikatnya saya sangat dahaga dan terpaksa curi-curi minum. Ayah dan ibu tak tahu dan mereka menganggap saya berpuasa,” katanya berseloroh.
Bagi Azzam, belajar berpuasa perlu dilatih sejak zaman kanak-kanak dan dorongan ibu bapa sangat penting.

“Walaupun kanak-kanak masih belum diwajibkan berpuasa, sebaik-baiknya ‘melentur buluh dari rebungnya’. Kalau mereka ponteng puasa mengapa, itulah proses belajar,” jelasnya yang bersyukur lagunya Cinta Jangan Pergi semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat.

“Cinta Jangan Pergi diterima baik oleh peminat. Buktinya apabila video lirik lagu ini sudah mencecah sejuta tontonan dan berada di kedudukan 10 terbaik dalam carta program Muzik-Muzik ke-36.

“Saya juga terlibat dalam pembikinan lagu selawat bersama artis-artis Rusa Music yang lain,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas