Berita

KPWKM teroka, kembang inisiatif dalam talian

PUTRAJAYA 01 JULAI 2019. Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH.
- Diterbit 29 Januari 2021 4:58 AM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneroka dan memperkembangkan inisiatif dalam talian pada tahun ini bagi melaksanakan sistem penyampaian kepada masyarakat yang pantas dan efisyen.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata beliau berharap agar tahun ini pelbagai inisiatif dalam talian terus diteroka, antaranya dalam memikirkan kaedah terbaik untuk memaklumkan notifikasi penyampaian bantuan kepada penerima bantuan menerusi telefon bimbit dengan pantas, efisien dan tepat.

Beliau berkata usaha ke arah transformasi digital sememangnya perlu ditingkatkan bagi memastikan masyarakat dan warga kementerian dapat mengadapatasi dengan perubahan cara kerja dalam norma baharu.

“Saya juga ingin berpesan kepada semua warga kementerian untuk terus memasakkan semangat bekerja yang jitu, dan dapat mengadaptasikan norma kerja yang baharu tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Tahun 2021 yang disiarkan menerusi laman rasmi Facebook KPWKM hari ini.

Menurutnya tahun ini KPWKM akan meneruskan pelbagai inisiatif dengan menambah baik program sedia ada, di samping memperkenalkan pelbagai program baharu.

Rina berkata program Kembara Prihatin Negara yang dilancarkan pada 1 Nov tahun lepas telah memberi manfaat kepada 124,423 individu selain menarik minat 40 sektor korporat, 91  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 1,372 orang sukarelawan sebagai rakan strategik.

“Sejak dilancarkan sehingga 25 Jan lepas, 532 program telah dilaksanakan di seluruh negara menerusi program berbentuk ‘outreach’ yang menyediakan perkhidmatan bergerak dengan menghimpunkan semua agensi kementerian di bawah satu payung,” katanya.

Berikutan peningkatan kes-kes sosial akibat pandemik COVID-19 terutama yang melibatkan kanak-kanak pula, beliau berkata terdapat keperluan untuk menambah bilangan Pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak di JKM.

Katanya kementerian telah mengemukakan permohonan untuk melantik 1,122 orang Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S29 secara perkhidmatan kontrak kepada Kementerian Kewangan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas