Berita

OKS kes trafik boleh buat pengakuan melalui sistem e-PG – PKPMP

|
- Diterbit 29 Januari 2021 4:54 AM MYT

MULAI 2 Feb, orang awam yang mempunyai saman kesalahan trafik di Shah Alam atau Selangor boleh membuat pengakuan salah melalui teknologi komunikasi jarah jauh dan tidak perlu hadir secara fizikal ke mahkamah.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini berikutan pelancaran Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (sistem e-PG) di Mahkamah Majistret Shah Alam.

“Secara rintis, Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor akan mengaplikasi sistem e-PG bagi semua kes trafik yang didaftarkan di Mahkamah Majistret 3 Shah Alam bermula pada 2 hingga 5 Feb 2021,” menurut kenyataan itu.

Pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia pada masa ini memerlukan masyarakat untuk menjaga jarak fizikal dan mengelakkan tempat sesak dan sistem e-PG dapat mengurangkan keperluan penerima saman kesalahan trafik untuk hadir ke mahkamah selain dapat menjimatkan masa, wang ringgit, menjaga keselamatan dan kesihatan, menurutnya.

Orang awam yang mempunyai kes yang didaftarkan di Mahkamah Majistret berkenaan boleh melayari sistem e-PG di https://ecourt.kehakiman.gov.my bermula 2 Feb ini.

PKPMP turut menyenaraikan 43 kesalahan yang membenarkan Orang Kena Saman (OKS) menggunakan aplikasi sistem e-PG termasuk kesalahan mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, pendaftaran kenderaan dan pemunya, lesen kenderaan motor, tiada lesen memandu dan memperagakan nombor pendaftaran.

Bagaimanapun, individu yang menghadapi kesalahan memandu kenderaan melebihi had kelajuan, tidak boleh menggunakan aplikasi sistem e-PG dan perlu hadir secara fizikal ke mahkamah.

Menurut PKPMP, statistik di Mahkamah Majistret menunjukkan terdapat lebih sejuta kes saman trafik didaftarkan yang kebanyakannya berakhir dengan pengakuan bersalah dan hukuman denda.

“Justeru, bagi mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan trafik sekali gus mempercepatkan proses pelupusan kes tersebut,” menurut PKPMP.

Badan Kehakiman berharap akan dapat melancarkan sepenuhnya sistem e-PG di Mahkamah Majistret seluruh Semenanjung Malaysia bermula 1 April manakala bagi Mahkamah Majistret Sabah dan Sarawak bermula pada Jun depan.

Badan Kehakiman juga berharap inisiatif pendigitalan teknologi seperti sistem e-PG ini akan lebih memperkasakan pentadbiran keadilan dan memperluaskan akses kepada keadilan untuk semua pihak. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas