Berita

Kontraktor Melayu dan Bumiputera perlu tingkatkan kemampuan – Fadillah Yusof

- Diterbit 29 Disember 2020 4:58 AM MYT

KONTRAKTOR Melayu dan Bumiputera perlu sentiasa meningkatkan kapasiti dan kemampuan supaya berupaya membida serta melaksanakan projek-projek swasta, agar tidak terlalu bergantung kepada projek-projek kerajaan.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau percaya kontraktor-kontraktor kecil yang mempunyai rekod kerja yang baik, tidak akan menghadapi masalah dalam mendapatkan projek-projek daripada sektor swasta.

“Jika dilihat kepada peruntukan kerajaan untuk projek-projek mega, biarpun kontraktor utama dipilih dalam kalangan kontraktor besar kategori G7 (keupayaan tawaran tender tiada had), namun kontraktor-kontraktor kecil masih berpeluang untuk bersaing, mendapatkan kerja-kerja subkontraktor di bawah projek-projek mega itu.

“Saya amat berharap kontraktor Bumiputera terus berusaha, berinisiatif dan berdaya saing merebut semua peluang sedia ada. Kontraktor Bumiputera perlu lebih proaktif dan bersiap sedia dalam kebiasaan baharu yang penuh cabaran dan perubahan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, secara dalam talian di sini hari ini.

Fadillah berkata, dalam dunia perniagaan, kontraktor mestilah mengenal pasti peluang sepanjang masa dan peluang berniaga di Malaysia adalah amat luas.

Kata beliau, para kontraktor tidak harus memasuki hanya bidang yang sudah padat atau yang tertentu sahaja, sebaliknya perlu lebih inovatif dan berani meneroka bidang-bidang baharu.

“Negara kita kini memerlukan lebih ramai usahawan yang mempunyai pemikiran positif, strategik dan berilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan, bagi menghadapi persaingan global.

“Di sinilah kontraktor-kontraktor berperanan mempelbagaikan kegiatan mereka. Sebagai contoh, dalam bidang teknologi pertanian, petroleum dan gas, teknologi maklumat dan multimedia,” katanya.

Beliau berkata penggiat industri pembinaan adalah tonggak kepada pembangunan fizikal negara.

“Industri pembinaan juga adalah pemangkin pembangunan sektor ekonomi lain berdasarkan kepada kesan pengganda sebanyak 2.03 kali. Ini bermakna, setiap RM1 yang dibelanjakan di dalam industri pembinaan akan mendapat hasil RM2 dalam sektor ekonomi yang berkaitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata sebanyak 120 industri bergantung kepada industri pembinaan, yang antaranya pembuatan bahan binaan, pembekal logistik, pemaju dan pengurusan fasiliti.

Sementara itu, menurutnya, sektor pembinaan juga amat penting kerana ia menggajikan seramai 15.5 peratus daripada 8.5 juta tenaga kerja negara.

“Oleh yang demikian, kerajaan amat peka kepada impak serta kesan yang dihadapi oleh para kontraktor, khususnya berkaitan kesan daripada penularan pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi ketika ini.

“Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan telahpun memperuntukkan sejumlah RM15 billion bagi meningkatkan perlaksanaan projek-projek infrastruktur,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas