Berita

PUCM sambut pencapaian lima tahun jadi penghubung China-Malaysia

- Diterbit 29 Disember 2020 5:02 AM MYT

PERSATUAN Usahawan China di Malaysia (PUCM) hari ini meraikan lima tahun pencapaiannya dalam menjadi penghubung antara China dan Malaysia.

Bagi meraikan ulang tahun itu, PUCM mengeluarkan video berdurasi lima minit yang mengimbas kembali peristiwa penting dalam sejarahnya, termasuk ucapan tahniah daripada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan kenamaan lain.

Dalam perutusannya, Saifuddin mengucapkan tahniah kepada Presiden pengasas PUCM Datuk Keith Li dan anggota PUCM atas pencapaian lima tahun menjadi penghubung antara China-Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) atas kejayaan lima tahun kewujudannya dan pada ulang tahun ketiga majalah rasminya – Malaysia-China Entrepreneurs serta media rasminya – Malaysia-China Insight English Newspaper dan aplikasi berita tiga bahasa. Saya yakin inisiatif PUCM akan meningkatkan hubungan baik antara usahawan Malaysia dan China di Malaysia. ”

“PUCM telah secara aktif mempromosikan syarikat-syarikat China dan berkomunikasi dengan masyarakat tempatan melalui kaedah kreatif seperti mengadakan pameran perdagangan, merakam klip video Tahun Baru Cina dan Hari Raya, mengadakan seminar dan forum, berinteraksi dengan komuniti Bumiputera dan mengadakan acara amal. PUCM juga selalu berinteraksi dengan media tempatan dan antarabangsa,” kata Saifuddin dalam perutusannya itu.

PUCM yang ditubuhkan pada 2015 dan kini mempunyai lebih 160 ahli syarikat, merupakan antara persatuan syarikat China yang paling aktif dan dikenali di Malaysia.

Ahli PUCM telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui pelbagai industri termasuk teknologi maklumat, pembinaan, perlombongan, minyak dan gas, telekomunikasi, tenaga suria, peruncitan, pembuatan, pelancongan, serta F&B.

PUCM juga menubuhkan cawangan Pahang dan cabang kecerdasan buatan, yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan di seluruh masyarakat Malaysia – dengan sektor kerajaan dan swasta dan di pelbagai wilayah.

Pada 20 Feb, PUCM mengadakan majlis makan malam di ibu negara bagi menyambut ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia-China, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dan Menteri Industri Utama pada masa itu Teresa Kok.

PUCM juga mengadakan Pameran Perdagangan Teknologi Pintar China (SCITE) pertama di Malaysia pada Disember 2019 di Pusat Pameran Mid Valley di Kuala Lumpur, yang menampilkan syarikat yang mewakili produk teknologi pintar dan kecerdasan buatan dari China seperti konsep bandar pintar, pelbagai aplikasi robotik, teknologi dron dan produk pintar lain.

Ahli PUCM juga mengikuti perkembangan di Malaysia, termasuk perkembangan ekonomi dan perniagaannya melalui perjanjian langganan dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ahlinya telah menyumbangkan lebih RM3 juta  dalam bentuk bekalan perubatan dan wang tunai kepada Malaysia dan pihak berkuasa China serta agensi untuk membantu memerangi pendemik COVID-19, yang menggambarkan semangat dan keprihatinan PUCM terhadap kedua-dua negara pada masa yang memerlukan ini.

Saifuddin berkata beliau gembira PUCM menerbitkan akhbar dan majalah edisi khas ulang tahun kelimanya yang memaparkan pencapaian dalam perjalanannya mulai 2015 hingga hari ini.

“Saya sangat berharap penerbitan ini dapat membantu menyebarkan tenaga positif dan meningkatkan lagi hubungan dua hala antara dua negara. Saya ingin mengucapkan selamat ulang tahun kelima kepada semua ahli PUCM dan semoga mencapai kejayaan besar dalam usaha mereka di masa hadapan,” kata menteri itu. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas