Berita

Kontinjen perarakan dan persembahan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 siap siaga beri persembahan terbaik

||
- Diterbit 28 Ogos 2022 11:46 AM MYT

KONTINJEN perarakan dan persembahan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 berada pada tahap yang baik.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata penilaian terhadap beberapa kelemahan melibatkan semua pihak telah diadakan bagi menambah baik persembahan selepas raptai separa penuh pertama semalam.

MOHAMMAD Mentek

“Hari ini saya lihat raptai separa penuh kedua lebih baik berbanding semalam, semangat kontinjen juga bersungguh-sungguh, tapi hari ini juga akan ada lagi mesyuarat untuk mengatasi kelemahan dari segi masa, ia perlu diperbaiki kerana lewat empat minit, mungkin ada kontinjen yang tidak cukup (bersedia) sepenuhnya.

“Dari segi persiapan di dataran pula boleh kata hampir siap cuma pemasangan paparan skrin LED belum siap sepenuhnya dan diharap ia dapat dipaparkan menjelang raptai penuh esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan raptai berkenaan di Dataran Merdeka di sini pagi ini.

Kata Mohammad lagi, pihaknya menjangkakan sambutan yang diterima amat menggalakkan berikutan ia akan diadakan selepas hampir dua tahun negara dilanda pandemik COVID-19,

“Seperti hari ini juga ramai yang hadir membawa anak-anak dan mereka teruja melihat walaupun ia hanya raptai.

“Saya menjangkakan sambutan akan lebih meriah dan pastinya penonton akan ternanti-nanti terhadap sambutan ini,” katanya.


Hari Kebangsaan 2022 yang bertemakan
‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ akan disambut secara besar-besaran dengan sasaran seramai 50,000 pengunjung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas