Utama

Perkasa pertahanan negara melalui pendidikan

ANTARA tetamu yang hadir memeriahkan Karnival Laluan Kerjaya Penguatkuasaan Undang-Undang di Dewan Seri Seroja, Presint 15, hari ini.
- Diterbit 28 Ogos 2022 11:08 AM MYT

SEMPENA ambang kemerdekaan negara Malaysia kali ke-65, pihak Innovative Student Management, EduCare Malaysia dan Kolej Antarabangsa Inovatif telah mengadakan Karnival Laluan Kerjaya Penguatkuasaan Undang-Undang di Dewan Seri Seroja, Presint 15, hari ini.

Menurut Pengarah Urusan Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-undang, Johari Jamaluddin, karnival ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan pendidikan terhadap bidang penguatkuasaan undang-undang di dalam negara.

“Bertemakan ‘Memperkasakan Pertahanan Negara Melalui Pendidikan’, karnival ini akan memberikan pendedahan kepada pelajar dan ibu bapa tentang wujudnya Program Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang sebagai pilihan untuk sambung belajar ke Institusi Pengajian Tinggi yang menjurus ke arah pekerjaan badan unit beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan lain-lain.

“Karnival ini juga diadakan bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 negara kita,” katanya ketika berucap pada karnival tersebut.

Menurut Johari, sehingga hari ini lebih 4,000 kekosongan jawatan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan dianggarkan sebanyak 16,000 kekosongan jawatan pada masa akan datang.

“Hal ini menunjukkan pentingnya kelayakan yang jelas dalam jurusan sesuai dengan pasaran kerja. Selain pengetahuan secara teori, pelajar akan mendapat bimbingan dan pembelajaran secara praktikal oleh pensyarah-pensyarah berpengetahuan serta berpengalaman,” jelasnya.

Selain itu, Johari memaklumkan pihaknya telah bekerjasama dengan PDRM pada 1 Julai lalu dengan pelantikan Asisten Komisioner Polis (ACP) Dr Parusuraman Subramanian sebagai Pensyarah Kanan (Separuh Masa) di Fakulti Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang bawah kelolaan Innovative Student Management.

“Dengan kerjasama ini, diharapkan pelajar dapat menambah pengetahuan secara langsung dari pakar industri sekali gus memudahkan perjalanan untuk menempuh alam pekerjaan kelak.

“Para pelajar akan diberi pendedahan daripada pegawai yang berpengalaman dalam bidang kepolisan. Bahkan kita juga melantik pensyarah-pensyarah yang pakar dalam bidang penguatkuasaan undang-undang lain seperti Kastam, Badan Guaman dan Imigresen.

“Kita ingin memberi pelbagai pendedahan yang menjadi nilai tambah apabila pelajar bergraduasi kelak. Hal ini adalah selari dengan misi dan visi kolej ini untuk melahirkan graduan yang holistik secara akademik, kebolehpasaran yang tinggi dan berkepimpinan,” katanya.

Dalam pada itu, karnival ini turut menawarkan para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menceburi badan penguatkuasaan melalui modul pengajian tinggi yang telah diiktiraf penuh oleh Malaysian Qualification Agency, iaitu Sijil (Pra- Diploma) Pentadbiran Penguatkuasaan Undang-Undang (MQA: FA9816) dan Diploma Pentadbiran Penguatkuasaan Undang-Undang (MQA: FA9528).

Mengulas lanjut, sempena menyambut Kemerdekaan Malaysia kali ke-65, Program Latihan Penguatkuasaan Undang-Undang turut memberikan Biasiswa Terhad Kemerdekaan 65 sebanyak RM11,000 bagi menampung kos pembelajaran para pelajar di dalam fakulti ini.

“Diharapkan inisiatif ini dapat menyuntik kesedaran serta kefahaman khususnya masyarakat hari ini bahawa jurusan ini merupakan bidang yang dinamik. Mudah-mudahan dengan komitmen semua, kita dapat bersama-sama dalam merealisasikan objektif karnival pengajian ini diadakan.

“Bagi para pelajar dan ibu bapa yang ingin mengetahui mengenai program ini dengan lebih lanjut boleh layari laman sesawang www.upuonline.com.my atau hubungi talian 03-7612 5272 (Pejabat), 011-5551 4112 (Mudah Alih) dan 013-353 4112 (WhatsApp),” ujarnya.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Mohd Zushaidey Zulkifli; Penolong Pengarah Cawangan Pendakwaan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Muhammad Asnawi Mohamad Rais; Pengerusi Kolej Antarabangsa Inovatif, Kapten (B) Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob; Presiden Kolej Antarabangsa Inovatif, Shahawati Umar dan Ketua Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya, Ahmad Tarmizi Abdullah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas