Berita

Konflik dengan Trudeau, Menteri Kewangan Kanada letak jawatan

- Diterbit 18 Ogos 2020 7:52 AM MYT

MENTERI Kewangan Kanada Bill Morneau mengumumkan peletakan jawatannya pada Isnin malam,  berikutan skandal penerimaan pemberian daripada organisasi amal dan dilaporkan berselisih pendapat dengan Perdana Menteri Justin Trudeau.

Pada sidang media di Ottawa, Morneau berkata beliau memberitahu Trudeau beliau  tidak akan mencalonkan diri dalam pilihan raya persekutuan berikutnya dan beliau hanya berhasrat berkhidmat dalam dua kerajaan sahaja, lapor agensi berita Xinhua.

Ini adalah “masa yang tepat bagi menteri kewangan baharu” untuk menguruskan perancangan jangka panjang dan tidak menentu ketika Kanada bangkit kembali daripada kemerosotan ekonomi yang disebabkan COVID-19, kata Morneau, yang telah memegang jawatan tersebut sejak 2015.

“Itulah sebabnya saya akan meletak jawatan sebagai menteri kewangan dan sebagai Anggota Parlimen untuk Pusat Toronto,” katanya.

Morneau menafikan beliau diminta mengundurkan diri dan berkata telah sampai kepada kesimpulan bahawa dirinya bukanlah “índividu paling tepat” untuk jawatan itu.

Dalam satu kenyataan, Trudeau memuji Morneau atas kerja kerasnya untuk menyokong rakyat Kanada dan mewujudkan ekonomi yang adil, berdaya tahan yang menguntungkan semua pihak.

Beliau berkata Kanada akan menyokong sepenuhnya tawaran Morneau untuk menjadi Setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

Pada minggu lalu, muncul laporan mengatakan berlaku keretakan hubungan antara Trudeau dan Morneau mengenai inisiatif alam sekitar dan perbelanjaan bantuan pandemik COVID-19.

Pejabat Perdana Menteri Kanada mengeluarkan kenyataan minggu lalu menyatakan Trudeau mempunyai “keyakinan penuh” terhadap Morneau.

Parti pembangkang Kanada meminta Trudeau dan Morneau untuk mengundurkan diri kerana memberikan program sukarelawan pelajar kepada kumpulan amal bernama WE Charity yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka dan ahli keluarga mereka.

Trudeau dan kerajaannya telah dikecam sejak mengumumkan pada 25 Jun bahawa mereka memberikan kontrak kepada WE Charity untuk menjalankan program musim panas sukarelawan pelajar yang telahpun dibatalkan berjumlah 900 juta dolar Kanada (sekitar US$664 juta).

Berikutan protes orang ramai terhadap kontrak tersebut, pada 3 Julai badan amal berkenaan dan pemerintahan Trudeau mengumumkan mereka akan membatalkan kontrak tersebut.

Pada 13 Julai, Trudeau berkata beliau melakukan kesilapan apabila tidak menarik diri daripada perbincangan kabinet mengenai pemberian program itu kepada kumpulan amal tersebut.

Pada akhir Julai, Morneau menyatakan beliau telah membayar kembali WE Charity 41,366 dolar Kanada (kira-kira US$31,000) sebagai perbelanjaan tertunggak yang ditanggung oleh organisasi itu untuk dua perjalanan yang dilakukan keluarganya pada 2017, dan bahawa isterinya telah memberikan 100,000 dolar Kanada (sekitar US$74,400) sebagai sumbangan kepada organisasi itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pesuruhjaya etika parlimen sedang menyiasat Trudeau dan Morneau mengenai sama ada mereka melanggar Akta Konflik Kepentingan yang berkaitan dengan program bersama WE Charity. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas