
KLBS’23 pamer keunikan industri dua roda, tampil persembahan Wings
KUALA Lumpur Bike Show 2023 (KLBS’23) yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 24 hingga 27 Ogos ini menumpukan kepada industri dua roda iaitu motosikal dan basikal.
Dianjurkan oleh Moventuum Sdn Bhd dan Majalah RodaRoda (Bayu D Enterprise Sdn Bhd), KLBS’23 bukan sekadar pameran semata-mata tetapi turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang empat hari penganjurannya.
Pengarah Moventuum Sdn Bhd, Farouk Nurish berkata antara aktiviti yang akan diadakan di KLBS’23 adalah pelancaran model-model baharu, pasaran aksesori, sesi pandu uji dan pertunjukan fesyen termasuk sesi perbincangan meja bulat yang bertemakan ‘The New Era of Road Safety’ dan ‘Environmental Social and Governance (ESG) and Mobility’.
“Paling menarik KLBS’23 juga bakal menampilkan persembahan istimewa daripada kumpulan rock legenda, Wings yang mana ia bukan sahaja dapat menambah kemeriahan program malah menarik lebih ramai pengunjung.
“Tiket penjualan konsert Wings ini akan mula dibuka bermula 1 Julai,” katanya pada Majlis Pelancaran Kuala Lumpur Bike Show 2023 di WTCKL baru-baru ini.
Turut hadir merasmikan adalah Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar, wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, Farouk berkata program ini akan menjadi acara utama di Malaysia yang menghimpunkan penggemar atau pemain industri permotoran dan berbasikal dari seluruh Malaysia termasuk antarabangsa.
“Ia adalah program pertama yang dianjurkan di Kuala Lumpur. Saya percaya ia mempunyai potensi untuk menjadi pusat tumpuan atau pengumpulan penggemar dan pemain industri permotoran serta berbasikal,” kata beliau yang berhasrat mengembangkan acara ini pada tahun-tahun akan datang.
Sementara itu, Pengarah merangkap penerbit Majalah RodaRoda (Bayu D Enterprise), Dr Yusseri Yusoff melihat KLBS tahun pertamanya bakal menjadi platform penting dalam industri sebagai tempat yang diperlukan oleh jenama dan pemain untuk mengetengahkan teknologi terkini termasuk pembangunan produk bagi industri dua roda tersebut.
“Di Malaysia, kita mempunyai lebih 15 juta pemilik basikal selain statistik segmen motosikal elektrik turut menunjukkan terdapat potensi besar terutamanya dengan tumpuan kerajaan terhadap kenderaan elektrik (EV) dan rantaian bekalan yang berkaitan. Dengan itu, kami memastikan EV beroda dua pada tahap teknologi yang berbeza-beza akan disertakan dalam pameran ini,” katanya.
Terdahulu, KLBS’23 menyasarkan lebih 50,000 pengunjung bakal hadir memeriahkan program tersebut selama empat hari penganjurannya.
Tiket pembelian awal KLBS’23 yang sudah dibuka bermula 15 sehingga 30 Jun ini dengan harga RM18 (dewasa) dan RM13 (kanak-kanak) manakala bagi tiket pas empat hari pula, tiket berharga RM45 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak).
Bagaimanapun, bermula 1 Julai, tiket akan dijual pada harga biasa yang akan diumumkan melalui laman web www.kualalumpurbikeshow.com. -WILAYAHKU