Berita

KLAS 2022 tumpu latihan intensif, WiPers sasar juara SUKMA 2022

SHAHIDAN (empat kiri) menyampaikan watikah perlantikan kepada salah seorang daripada 41 pengurus SUKMA yang terpilih di Menara Seri Wilayah, baru-baru ini. SHAHIDAN (empat kiri) menyampaikan watikah perlantikan kepada salah seorang
- Diterbit 28 Mei 2022 6:00 AM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) mensasarkan gelaran juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 yang bakal berlangsung pada September depan di Lembah Klang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sasaran utama kontinjen tersebut berdasarkan kejayaan WiPers yang menjadi naib juara pada edisi sebelumnya.

“Apabila memasuki sesuatu pertandingan, kita akan bertanding dengan hebat dan menjadi johan. Oleh itu, para atlet akan terlibat dengan Kem Latihan Atlet SUKMA Wilayah Persekutuan (KLAS) 2022 yang bakal diadakan secara tiga fasa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Mei dan Jun ini.

“Jumlah atlet yang akan terlibat adalah seramai 587 orang melibatkan sebanyak 31 acara dan penyusunan atlet akan dilakukan bagi membolehkan apa yang disasarkan tercapai,” katanya sejurus Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengurus SUKMA XX MSN 2022 di Menara Seri Wilayah, baru-baru ini.

Tambahnya KLAS 2022 memberikan elemen tumpuan kepada latihan intensif, simulasi sukan dan ujian kecergasan di samping pelbagai program pengukuhan seperti Team Building, Pengurusan Anti Doping serta Perubatan Sukan.

Dalam majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dilantik sebagai Ketua Kontinjen WiPers untuk temasya SUKMA XX MSN 2022.

Turut dilantik tiga Timbalan Ketua Kontinjen iaitu Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Sulaiman Mohamed; Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat) Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dr Hasnul Faizal Hussin Amri berkata pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat pada Julai ini bagi menentukan sasaran pingat serta senarai atlet yang terlibat.

“Mesyuarat ini bagi menyemak semula kategori yang dipertandingkan kerana pada mesyuarat terdahulu, terdapat beberapa jenis sukan tidak dipertandingkan berikutan tiada pembabitan negeri lain.

“Bulan Mei dan Jun ini ialah tempoh kritikal buat para atlet kerana ketika itu mereka akan dinilai dan yang berpotensi akan dipilih bagi membantu Wilayah Persekutuan mencapai sasaran sebagai juara keseluruhan,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas