CKB

KLAB rancakkan dunia buku

KLAB berjaya mencipta pengikut yang tersendiri. - Foto: Rozan Mat Rasip
- Diterbit 5 Mac 2024 9:50 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

DALAM kalangan peminat buku, acara terbesar yang diadakan di Kuala Lumpur minggu lalu adalah Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) di Central Market. Acara buku itu boleh dianggap sama meriahnya dengan peminat muzik di konsert artis antarabangsa pilihan mereka.

Central Market penuh sesak dengan ‘wajah-wajah baharu’ yang datang kerana KLAB dan mereka adalah peminat buku atau yang baru berjinak-jinak mengalami kehidupan yang lebih indah apabila berdamping dengan buku.

Diadakan pada Khamis dan berakhir Ahad lalu, KLAB dilihat sebagai acara besar dalam dunia buku yang melibatkan penerbit, penulis dan pembaca. Bukan sahaja untuk industri buku, tetapi juga ke arah membina khalayak buku yang baharu terdiri dalam kalangan remaja.

Selain untuk khalayak buku yang sedia ada, usaha membina khalayak baharu juga sama pentingnya dengan mengangkat buku sebagai industri yang lebih berdaya maju. Dengan memiliki saiz khalayak yang besar itu memungkinkan sumbangan pada bidang penerbitan dan seterusnya penulis buku.

Daripada pengamatan selama empat hari di Central Market, pesta buku itu sudah mencipta pengikut yang tersendiri dan mempunyai rupa bentuk acara buku yang unik. Sekalipun berskala kecil, pesta buku itu memberikan pilihan buku yang pelbagai – sastera, sosio-sejarah, agama dan karya popular.

Dunia buku tempatan memerlukan acara yang seperti itu untuk menghidupkan suasana serta memberikan pilihan kepada pengunjung mendapatkan karya-karya yang menjadi bualan ramai. Di reruai yang menjual buku yang agak berat juga menjadi tumpuan pengunjung.

Hal itu membuktikan semua buku ada peluang untuk menemui pembaca dan pembaca pula berpeluang mendapat buku yang menjadi pilihan. Tambahan pula pada era ruang kebebasan berkarya yang agak luas ini, banyak buku baik dan telus perlu disambut oleh pembaca.

Buku-buku yang baik sekalipun ‘dilihat’ tidak baik untuk pihak tertentu sebenarnya mendokong iltizam untuk membina pemikiran rakyat seterusnya membangunkan negara. Penguasa pula tidak perlu ada fobia melampau terhadap buku yang mengemukakan pemikiran yang bertentangan.

Daripada tinjauan rambang sepanjang pesta buku itu, terdapat banyak juga pengunjung yang semata-mata datang ke Kuala Lumpur untuk ke pesta buku itu. Mereka datang dari utara, selatan dan pantai timur untuk berbelanja buku. Maknanya acara pesta buku itu tidak sahaja dikunjungi oleh warga di Lembah Klang.

Hal yang demikian adalah suatu yang membanggakan kerana acara buku terus mendapat sambutan termasuk oleh mereka yang jauh dari Kuala Lumpur. Seperkara lagi hal itu menunjukkan KLAB sudah menjadi jenama yang diyakini kepada peminat buku selain Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

KLAB juga dilihat boleh menjadi landasan kepada penulis tempatan memperkenalkan karya kepada khalayaknya. Dengan adanya KLAB penulis tempatan mendapat peluang untuk berkongsi idea dan pengalaman mereka dengan pembaca pada acara sampingan di pesta buku itu.

Idea asal KLAB dicetuskan oleh Pengarah Urusan Buku FIXI, Amir Muhammad dan memulakan pada 2008 di bangunan Annexe di sebelah Central Market. Acara awal itu terbuka kepada beberapa reruai sahaja disebabkan ruang yang terhad.

LAKARAN SEJARAH

LANGKAH pertama itu adalah sejarah. Kini sejarah itu telah membina masa depan yang lebih gemilang disebabkan matlamat penganjuran tidak menjurus pada keuntungan yang berbentuk material semata-mata. Malah sebagai usaha menggerakkan satu bidang yang dianggap sesetengah pihak tidak berpeluang untuk maju.

Amir yang bukan sahaja seorang penerbit, tetapi juga peminat buku tegar dan pengarah filem melihat KLAB berpotensi berkembang sekalipun ada yang menganggap buku sudah kehilangan pembaca. Usaha itu telah membuktikan buku sebenarnya bukan sahaja ada khalayak malah semakin bertambah besar.

KLAB dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dengan kerjasama Buku FIXI dan Patriot Publishing. Pesta buku yang baru berlangsung itu adalah kali ke-15 dan merupakan tiga kali berturut-turut di Central Market.

Usia pesta buku itu juga membuktikan kemantapan dan iltizam tinggi oleh penganjur. Sebenarnya bukan suatu yang mudah untuk menjadikan sesuatu acara itu konsisten tahun demi tahun. Bagaimanapun Amir dan rakan-rakan membuktikan bahawa kesungguhan itu sebenarnya mengatasi faktor-faktor lain yang selalu menjadi penghalang termasuk kewangan.

Amir memberitahu, pada tahun-tahun awal, penganjuran KLAB banyak digeraklan oleh beliau dan rakan-rakan yang terdiri daripada Pang Khee Teik, Goh Lee Kwang dan Zulhabri Supian. Pang Khee Teik dan Goh Lee Kwang mewakili Annexe.

“Hasil yang dilihat daripada KLAB hari ini turut disumbangkan oleh kawan-kawan yang bertungkus lumus di tahun-tahun awal menganjurkan pesta buku ini. Mereka orang di belakang tabir yang memainkan peranan besar dalam KLAB,” beritahu Amir.
Amir membayangkan tidak akan tergesa-gesa untuk membesarkan saiz pesta buku itu dalam masa terdekat kerana mahu lebih memberi peluang kepada rakan-rakan daripada penerbitan buku independent. Pesta buku adalah antara kegiatan yang boleh menyumbang pada kerancakan berkarya, membaca dan menerbit buku.

Daripada segi sambutan, Amir memberitahu, dua tahun sebelum ini KLAB telah mencatatkan jumlah pengunjung yang luar biasa berbanding sebelumnya. Untuk dua tahun berturut-turut di Central Market, KLAB mencatatkan 50,000 orang pengunjung.

“Walaupun tidak semua datang secara khusus untuk KLAB, ini adalah satu yang baik untuk kita mendapatkan pembaca baharu dan tidak sahaja bergantung kepada yang sedia ada,” kata Amir yang turut memberitahu pesta buku yang baru berlalu itu diberikan kelainan dengan membahagikan pada tiga zon iaitu dalam Central Market, dua jambatan dan bahagian luar bangunan.

Antara penerbit buku yang mengambil bahagian dalam KLAB kali ini adalah Buku FIXI, Patriots Publishing, IBDE, Iman, Rabak-Lit, PTS, Karangkraf, Pelangi, Kedai Pak Latip, Biblio Press, Manes, RA Arts Haven, Must Read, SAFIY Art & Publishing, RC Publication, Hikayat Fandom, Riwayat, Tokosue, Tarbiah Sentap, Pelita Dhihin, Working Desk Publishing, Geng Buku, Dua Penulis, Whitecoat, Tentang Kita, Penerbitan Hayrat, Ramlee Awang Murshid dan Kedai Dr Maszlee.

KLAB sentiasa menyediakan buku-buku yang kita perlukan sekalipun skalanya lebih kecil berbanding PBAKL. Buku-buku yang menjadi bualan di media sosial ada di KLAB dan boleh berbelanja dalam keadaan yang agak selesa di Central Market.

Di sudut lain pula, sekalipun tanpa disebut oleh mana-mana pihak, KLAB sebenarnya adalah acara tahunan yang bertapak kukuh dan menyumbang pada kedudukan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada 2020 yang lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas