CKB

Merenung keindahan tanah air

LAUT, pantai, sawah, gunung-ganang dan seni bina bangunan serta landskap yang unik menjadikan Malaysia antara destinasi pilihan pelancong luar
- Diterbit 26 Februari 2024 2:49 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

BEBERAPA lagu patriotik yang malar segar, sama ada dari Malaysia atau Indonesia menggunakan alam tanah air untuk membangkitkan rasa sayang dan bahagia terhadap negara. Dengan cara itu, tanpa rasa terdera atau terpaksa, rakyat akan menumpahkan sayang pada negaranya.

Dengan rasa yang sedemikian, rakyat pasti bangkit melindungi tanah airnya daripada dijajah atau dirompak oleh kuasa luar. Hal itu kerana sesuatu yang amat berharga akan dipertahankan tanpa dipaksa.

Lihat sahaja tingginya nilai patriotik dalam lagu Bengawan Solo ciptaan Pak Gesang yang hanya melukis keindahan sungai Solo. Sungai itu adalah sebuah kehidupan, dan itu jugalah Indonesia. Ia menusuk ke jiwa dan timbul rasa sayang kepada negara yang memberi bahagia.

Hal yang sama juga dengan lagu Malaysia Tanah Airku ciptaan Johar Bahar. Pengubah tersohor itu juga melukiskan keindahan tanah air yang tidak ada duanya. Hanya inilah satu-satunya tanah air kita yang bukan sahaja aman tetapi wajah alamnya sangat indah.

Tanah air kita ini memang indah, laut, pantai, sawah dan bukit bukau semuanya memberikan kenikmatan pada pandangan mata dan jiwa, sekali gus menumbuhkan rasa yang bahagia. Rasa yang terbit secara semula jadi itu juga mendalam rasa cintanya.

Perihal keindahan tanah air itu sengaja diangkat untuk membawa kita menoleh khazanah berharga yang dimiliki, akan tetapi kurang diberikan apresiasi yang selayaknya. Keindahan yang berharga itu seperti terbiar apabila ada sesetengah dalam kalangan rakyat tidak melihatnya dengan mata jiwa.

Nenek moyang kita juga pernah berpesan, ‘Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih baik negara sendiri.’ Maksudnya sekiranya semua yang baik ada di negara orang, negara sendiri tetap di hati. Apatah lagi yang memberikan kita satu khazanah alam yang indah.

Media pula kerap melaporkan reaksi dalam kalangan pelancong luar tentang keindahan alam di negara kita. Kesimpulannya cantik dan indah. Tidak terdapat di tempat mereka terutama di luar geografi kepulauan Nusantara kerana iklim dan alam yang berbeza.

Bukan suatu yang luar biasa juga apabila ada pelancong mahu berlama-lama di negara ini untuk menikmati keindahan yang bagai tidak berhujung itu. Banyak dalam kalangan rakyat mengakui keindahan itu, akan tetapi tidak semua menikmati kerana hal itu bukan utama.

Bagi sebahagian besar warga kota, Kuala Lumpur adalah padang yang luas tempat mencari rezeki. Apabila ada kelapangan dan keadaan mengizinkan, sesetengahnya memilih berada di luar lingkaran kota, ke tempat yang menjanjikan keindahan dan ketenangan.

Sekalipun begitu banyak yang masih belum terilham untuk mencari ruang masa yang sesuai bagi menikmati alam tanah air ini. Antaranya kekangan tugas dan sebab-sebab lain antaranya faktor kewangan oleh golongan yang kurang kemampuan.

Dari pesisir pantai barat yang mengunjur sepanjang perairan Selat Melaka dan menghadap Laut Andaman, kemudian di sepanjang petempatan yang menjalur di Pantai Timur menghadap Laut China Selatan adalah khazanah alam indah yang kita miliki.

Sekarang adalah musim cuti persekolahan. Tentunya ini masa terbaik untuk melancong sambil menikmati alam tanah air ini. Dengan adanya jalur lebuh raya yang terbaik, satu membelah ‘jantung pisang’ dari utara ke selatan. Satu lagi dari Kuala Lumpur hingga ke Pantai Timur tentunya memendekkan masa berbanding suatu waktu dulu.

EKSPRESI PATRIOTIK

Lebuh raya adalah ekosistem yang seharusnya merancakkan pelancongan domestik dalam kalangan warga tempatan. Tambahan pula dengan pertumbuhan kemudahan inap desa yang begitu banyak terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Pelancongan domestik sebenarnya agak baharu dalam kalangan masyarakat kita sekalipun semua negeri telah menganjurkan tahun melawat negeri masing-masing. Melancong masih lagi difahami pergi ke luar negara dan menikmati keindahan alam di sana.

Tentu ada yang setuju bahawa alam tanah air ini dianugerahkan keindahan yang tiada duanya. Menikmati alam tanah air bukan sahaja untuk mengisi ruang masa yang kosong, tetapi juga satu bentuk ekspresi patriotik pada negara.

Tidak berusaha mencari masa untuk bermesra dengan alam tanah air boleh menipiskan rasa bangga memiliki negara yang satu ini. Maka seharusnya dipertajamkan apresiasi patriotik dengan melawat ke segenap wilayah dan daerah.

Bilakah kali terakhir kita menikmati keindahan itu selain pulang menyambut hari raya atau menguruskan hal keluarga di kampung? Banyak promosi yang dibuat kepada pelancong luar untuk datang menikmati keindahan alam di negara ini.

Pada masa yang sama berapa banyak pula rakyat negara ini yang telah menikmati dan menghayati keindahan alam yang menjadi buah mulut orang luar?

Untuk menyemaikan rasa kasih pada negara, melancong atau lebih tepat lagi mengenali tanah air sendiri adalah kaedah yang boleh dilaksanakan. Tanpa rasa dipropagandakan untuk kelihatan patriotik, melancong dalam negara lebih santai untuk menyingkap keunikan, sejarah dan kecemerlangan negara.

Oleh hal yang demikian, melancong dalam konteks tempatan adalah satu proses menghayati dan memesrai alam di negara sendiri. Apabila terpesona dengan alam yang mesra dan cantik, tentunya akan tumbuh rasa kagum dan bangga menjadi rakyatnya.

Alam tanah air sebenarnya memainkan peranan menentukan karakter masyarakat di sesebuah negara. Alam terlebih dahulu memberi gambaran minda terhadap sikap dan peribadi rakyatnya.

Melancong kelihatan agak asing malah dianggap satu budaya baharu dalam kalangan masyarakat tempatan. Matlamat pelancongan domestik sebenarnya melampaui usaha mengajak rakyat berkelah ke satu tempat dan menggunakan kemudahan penginapan untuk memberi nafas kepada sektor perhotelan.

Kalau hanya bertujuan menghidupkan sektor perhotelan, industri kraf atau pelbagai lagi faedah sampingan, pelancongan domestik tidak menjurus jauh ke dasar pengertian dan apresiasi rakyat pada negaranya.

Pelancongan domestik harus dilihat sebagai salah satu proses menyemai rasa patriotik terhadap negara. Sambil melancong mereka mempelajari sesuatu yang baharu tentang budaya yang berbeza-beza antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Faktor alam yang memberi kesan secara menyeluruh terhadap cara hidup sesebuah masyarakat di sesuatu tempat. Semua itu tidak kelihatan daripada pandangan kasar kecuali mereka yang menghayati keindahan itu dari sudut patriotiknya.

Kita selalu berbangga apabila ada pelancong yang memuji keindahan negara ini. Tetapi malangnya tidak ada usaha yang lebih untuk mengajak rakyat mengenali dan merasai keindahan yang dinikmati oleh pelancong luar.

Kempen pelancongan domestik perlu lebih menjurus pada soal-soal yang boleh membentuk rakyat menjadi warga yang berbangga dengan negaranya. Matlamat utama pelancongan domestik bukan sekadar pulangan ekonomi, tetapi melahirkan warga yang cintakan negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas