CKB

Catatan pendek tentang sastera

- Diterbit 8 Mac 2024 10:55 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

SAYA tidak pasti bila dan siapakah yang memulakan tanggapan bahawa karya sastera hanya untuk ‘orang sastera’ muncul di negara ini. Bagaimanapun tanggapan itu kini sudah menjadi biasa dan seolah-olah dipersetujui bahawa sastera untuk satu kelompok sahaja.

Sastera tidak menjadi salah satu keperluan hidup untuk mengenal dan menghayati kehidupan, sekali gus memberi reaksi terhadap pergolakan yang berlaku. Maka semua dalam kalangan masyarakat memerlukan sastera sebagai kanta untuk melihat hal-hal tersurat dan tersirat dalam kehidupan.

‘Orang sastera’ itu boleh difahami sebagai penggiat yang terdiri daripada penulis dan peminat karya yang bercorak kesusasteraan. Mereka yang menganggap tidak termasuk dalam kelompok yang kecil itu merasakan tidak ada kepentingan, bukan sahaja untuk membaca, tetapi juga mengambil tahu tentang hal-hal dalam dunia sastera.

Itu adalah tanggapan yang salah sama sekali. Akan tetapi itulah juga yang menjadi pegangan individu dalam banyak bidang profesional lainnya. Sebahagian besar daripadanya merasakan mereka tidak ada keperluan atau mempunyai kaitan sastera. Maka dengan bangga dan tidak rasa bersalah mengaku tidak pernah membaca karya sastera.

Saya fikir itu suatu keadaan yang semestinya diperbetulkan. Semua itu bukan untuk kepentingan sasterawan, tetapi untuk memerdekakan sesetengah pemikiran yang belum merdeka. Bukan untuk melariskan buku sastera seterusnya meningkatkan bayaran royalti kepada sasterawan.

Pengalaman menghadiri banyak acara yang bercorak sastera mendapati sebahagian besar tetamu utama tidak mempunyai pengetahuan asas tentang sastera. Bukan sahaja tidak membaca karya-karya besar yang sangat signifikan dengan pembangunan manusia, malah tidak mengambil tahu perkembangannya.

Keberadaan tetamu itu pada acara sastera tidak lebih sebagai ‘pembaca teks’ yang disediakan oleh orang lain, terutama individu dalam kalangan arif sastera. Tidak nampak usaha untuk memahami dan mengambil tahu butir-butir yang diucapkan kepada khalayak sastera di depannya.

Ada beberapa teman sasterawan mengambil pendirian tidak hadir ke acara-acara sedemikian. Kata mereka, “Kita yang bergelumang berpuluh tahun dalam sastera, tiba-tiba seolah-olah berada dalam kuliah sastera dengan pertua itu dan ini untuk berkarya.”

Secara rambang saya mendapati penghayatan terhadap sastera dalam kalangan pentadbir atau pemimpin adalah sangat rendah. Hal itu tentulah menyukarkan mereka memahami keperluan dan membuat perancangan untuk memajukan lagi bidang kesusasteraan.

Sastera itu sendiri sebenarnya mendorong khalayak menikmati dan memahami kehidupan daripada perspektif yang berbagai-bagai. Hal itu menjadikan pendamping sastera lebih peka dengan persekitaran sosiobudaya yang mempunyai hubung kait antara kehidupan dulu, kini dan masa depan.

Karya dihasilkan oleh sasterawan yang juga pemikir dan pemerhati sosial bukan eksklusif, tetapi inklusif untuk  semua golongan. Kesusasteraan adalah satu bidang berkaitan dengan pemikiran, manusia dan kemanusiaan. Tidak kira  sama ada pemimpin politik, korporat, ahli ekonomi dan juga gelandangan. Sastera merentasi garis yang memisahkan antara kelas, bidang, budaya malah warna kulit.

Di negara maju, karya sastera dihayati oleh semua lapisan, kelompok dan bidang kepakaran. Bagi mereka, adalah amat memalukan kalau tidak membaca karya sastera atau tidak mengambil endah tentang hal-hal sekitarnya. Tidak hairanlah keadaan itu menjadikan khalayak sastera di negara maju lebih luas berbanding negara mundur.

JURURAWAT PENYAKIT SOSIAL

Sekadar menyebut beberapa karya oleh sasterawan besar yang pernah kita miliki yang mencerminkan pemikiran dan pemerhatian terhadap isu-isu yang melingkari rakyat. Novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1982) karya Sasterawan Negara Keris Mas adalah sebuah pandangan kritis mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sementara novel Hujan Pagi (1986) oleh Sasterawan Negara A Samad Said tentang bingkai politik arus utama yang membelenggu ruang wartawan bekerja untuk rakyat. A Samad Said adalah sasterawan yang juga wartawan pada era awal kewartawanan Melayu sebelum Perang Dunia Kedua.

Hujan Pagi adalah karya wajib baca oleh semua termasuk pemimpin politik di mana rakan-rakan mereka yang bertanggungjawab merangka berbagai-bagai undang-undang untuk memperlahan pengaruh wartawan. Malah Hujan Pagi juga rujukan wajib wartawan muda untuk memahami erti ‘makan gaji’ dan ‘makan hati’ yang diungkapkan oleh pengarang novel ini.

Tidak ketinggalan karya-karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang sangat sinis dan kritikal terhadap sosiopolitik Melayu. Walaupun novel Ranjau Di Sepanjang Jalan banyak diperkatakan, tetapi Rentong (1965) tidak kurang tajamnya kritikan terhadap sikap buruk orang Melayu yang menjadi pak turut.

Saya tidak pasti berapa banyak pemimpin politik atau penyokong membaca novel Menteri karya Shahnon. Novel yang nipis itu menyusur alam bawah sedar seorang menteri bernama Bahador. Suatu pagi ketika bersiap hendak ke pejabat dia diterjah layar masa lalu, banyak perkara tidak beretika yang dilakukan suatu waktu dulu kembali di ingatan.

Kalau menoleh ke Indonesia, karya sasterawan seperti Pramoedya Ananta Toer wajib dibaca oleh sesiapa sahaja tidak kira kaum atau budaya. Selain Keluarga Gerilya yang pernah dijadikan buku teks di sekolah negara ini tahun 1970-an, banyak lagi karya Pramoedya yang lebih kuat berbanding yang satu itu.

Antara yang lain itu sudah tentu Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa dan Arok Dedes yang agak jarang diberi pendedahan. Arok Dedes sebuah cereka kudeta politik pertama di tanah Jawa. Penuh kelicikan, lempar batu sembunyi tangan, adu domba di mana akhirnya semua kekotoran itu ditanggung orang lain.

Berbalik pada sikap masyarakat pada sastera, ia bukan salah generasi muda sepenuhnya. Mereka adalah mangsa sistem pendidikan kebangsaan yang membina jurang luas antara sastera dan sains di peringkat sekolah lagi. Inilah masalahnya apabila sistem pendidikan dirangka oleh pihak yang tidak ‘memahami’ keperluan sastera dalam kehidupan manusia.

Hal itu berlaku secara berterusan walaupun dalam kalangan intelektual percaya sastera penting dalam sistem pendidikan kebangsaan. Bukan sahaja sebagai satu subjek kecil, tetapi keutamaannya ditonjol supaya menjadi pemangkin generasi yang memahami dan menjiwai hal-hal berkaitan manusia dan kemanusiaan.

Karya sastera mencerminkan kepercayaan, keyakinan dan pandangan alam golongan sasterawan. Untuk menyelak jiwa dan pemikiran aras tinggi, baca dan fahami karya-karya sastera.

Golongan sasterawan sudah melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh sebagai jururawat penyakit sosial, jurubicara rakyat kepada yang ditindas dan penasihat tentang kebenaran kepada pentadbir dan pemimpin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas