Artikel

KL di mata pena Zahari Hasib

ANTARA antologi puisi antara karya yang dihasilkan oleh Zahari Hasib semasa hayatnya sebagai seorang penyair.
- Diterbit 27 Mei 2022 3:14 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan bebas

SUATU senja dalam tahun 1985, ketika berjumpa beliau di Restoran Yusoff, Central Market, saya dan kawan-kawan sedang merancang sebuah acara puisi untuknya. Saya beritahu beliau tentang acara itu. Beliau terhenti daripada meneguk teh tarik dan merenung tepat ke muka saya.

“Jangan buat lawak,” katanya perlahan tetapi agak serius. Saya yakin beliau tidak pernah termimpi akan ada sebuah acara khusus untuknya. Walaupun 1980-an adalah dekad kemuncaknya tetapi beliau terpinggir. Karya-karyanya tidak diperkatakan seperti selayaknya.

“Tak lawak. Saya dengan kawan-kawan nak buat program puisi untuk Abang Zahari jadi hos. Malam itu untuk Abang Zahari,” saya menyakinkan penyair Zahari Hasib tentang perancangan mengadakan acara puisi untuk beliau. Saya yakin perancangan itu menjadi kenyataan walaupun tanpa wang yang banyak di tangan.

Zahari yang kaku di depan saya seperti tidak percaya. Sepanjang penglibatan dalam dunia kepenyairan tidak pernah ada penghormatan yang sebesar itu. Banyak dalam kalangan akademia sastera menganggap puisi-puisi Zahari hanya ‘biasa-biasa’ kerana polos dan bahasanya mudah.

“Siapa penganjur? Belum pernah orang nak anjur program untuk saya,” katanya.

Sekali lagi saya beritahu bahawa saya dengan kawan-kawan keluar duit saku sendiri menganjurkan program yang diadakan di Panggung Drama, Jalan Bandar bersebelah dengan ibu pejabat polis trafik Kuala Lumpur. Saya terangkan juga bahawa program itu dibuat secara ‘miskin’ kerana kekangan belanja.

Zahari sangat terharu dan memberitahu mahu menyumbangkan sedikit belanja untuk acara itu. Saya menolak. Acara itu untuk meraikan beliau dan kami sudah berusaha memperuntukkan duit saku masing-masing untuk acara itu.

Saya bersama-sama rakan wartawan, Zulkifli Ismail (sekarang pelakon) serta Wan Zulkifli Wan Yaacob (bekas Ketua Biro Utusan Melayu Terengganu) dan pelajar Universiti Malaya, Halim Yazid (sekarang penyanyi dikir barat popular) mengambil inisiatif menganjurkan Malam Puisi Zahari Hasib.

Kami agak bertuah kerana mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menguruskan Panggung Drama. Halim yang kenal rapat dengan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Noordin Razak berjaya mengundang beliau sebagai tetamu kehormat Malam Puisi Zahari Hasib.

Zahari boleh dianggap senama dengan Kuala Lumpur kerana sebahagian besar puisinya menyentuh tentang gerak fikir dan sikap warga kota. Lebih daripada separuh usianya dihabiskan di Kuala Lumpur. Pernah bertugas sebagai pengawal keselamatan di Universiti Malaya kemudian pada 1974 bekerja di unit keselamatan Bank Negara. Beliau bersara pada awal 2000.

Perkenalan dengan Zahari bermula di Pelancaran Pameran Lukisan di Rumah Anak Alam di Padang Merbuk, Kuala Lumpur tahun 1984. Saya pernah nampak wajahnya dan kenal siapa beliau, cuma belum pernah bersua muka. Saya memperkenalkan diri dan kami berbual panjang hingga lewat malam seusai majlis itu.

Zahari seorang yang humanis, deria rasa dan kotak fikirnya cepat menangkap pergulatan sosial seterusnya memberikan saranan. Puisi-puisinya sangat akrab dengan sosialisasi di sekeliling. Beliau melihat dari sudut pandangan yang dalam dan penuh tanggungjawab.

Masa yang sama beliau seorang pemerhati dan perenung yang setia, tentang sekecil-kecil benda hingga kepada sebesar-besarnya. Puisinya, ‘Hakikat’ pertama kali disiarkan dalam majalah Pemimpin tahun 1969. Puisi pemula itu menjadikan beliau penyair hingga ke akhir hayat.

Zahari pernah meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang kesusasteraan ketika berusia 20-an. Beliau hanya mempunyai sijil LCE dan tidak layak menyambung pelajaran di mana-mana institusi yang ada kursus dalam bidang sastera.

Bagaimanapun akhirnya beliau menerima hakikat itu dan terus menggali pengalaman menerusi pembacaan dan pergaulan dengan tokoh-tokoh sastera.

Puisi-puisi Zahari telah memberikan warna kemanusiaan dan kesenimanan pada Kuala Lumpur yang sangat materialistik. Puisinya memang polos dan mudah. Tidak dibumbui secara berlebihan dengan kata dan ungkapan bombastik. Ini berlawanan dengan fenomena semasa puisi absurd dekad 1980- an.

Saya mengesani pemikiran Zahari selepas banyak kali melihat beliau mendeklamasi puisi di Kuala Lumpur sejak 1984. Saya terpikat dengan puisinya yang ringkas dan meminjam gaya deskriptif. Puisi-puisinya boleh dinikmati oleh banyak orang sekalipun tidak boleh difahami oleh semua orang.

Tetapi seingat saya, sepanjang usia kepenyairannya, Zahari tidak pernah ditonjolkan sebagai salah seorang penyair yang pernah kita miliki. Penyair lain kerap mendapat pendedahan dan sering tertonjol di majlis-majlis sastera, tetapi tidak kepada Zahari.

Sesetengah pihak menganggap puisi Zahari tidak ada nilai. Kata mereka, bahasanya terus terang, tidak mendalam dan nipis pemikiran. Beliau menjadi penyair terpinggir walaupun banyak menyumbang karya pada khazanah sastera. Itulah antara sebab yang mendorong saya dan kawan-kawan mengambil daya usaha menganjur Malam Puisi Zahari Hasib.

Salah sebuah bukunya, ‘Menyorot Kisah dan Ilham’ (1987) penting untuk menyingkap proses kreatif menghasilkan puisi-puisi sinikal dan satira sosial yang tajam. Beliau menghasilkan tiga antologi puisi – ‘Kuntuman Harapan’ (1992), ‘Debu Di Kaca’ (1995) dan ‘Bunga-Bunga Terbuang’ (1989).

Zahari kembali ke pangkuan Ilahi pada 26 Februari 2012. Berita pilu itu amat menyentak dan saya kehilangan seorang sahabat yang amat dihormati. Kepulangan Zahari pada usia 65 tahun di Teluk Intan, Perak menandakan kita kehilangan penyair yang tidak dirai semasa hayatnya.

Saya masih menyimpan lebih kurang 15 puisi yang ditulis dengan mesin taip dan belum disiarkan. Puisi-puisi itu dihantar dengan tangan ketika saya masih bertugas di Mingguan Malaysia.

Suatu yang sangat sentimental dan mengharukan perasaan ialah semua puisi itu dihantar sendiri dengan tangan. Zahari yang lahir pada 15 Jun 1947 itu menetap di Teluk Intan, menaiki bas ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menghantar puisi kemudian balik semula ke Teluk Intan.

Bersama-sama puisi dalam sampul surat berwarna coklat, Zahari menghulurkan beberapa pek plastik berisi gula-gula yang diklip pada sekeping kertas sebesar kelingking bertulis, ‘Ikhlas Daripada Zahari Hasib.’

Zahari memulakan hari baharu dengan membaca akhbar. Beliau akan menelefon saya seawal pukul 7 pagi hari Ahad kalau ada puisinya disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Tuturnya ringkas kerana tidak mahu mengambil masa saya, “Terima kasih daripada Zahari Hasib.”

Pernah sekali, suatu pagi Ahad saya menerima 20 missed call pada pukul 7 pagi hingga 4 petang. Saya terlupa membuka deringan. Apabila ternampak 20 missed call, timbul rasa bersalah dan terus menelefon Zahari. Katanya pendek sahaja, “Terima kasih daripada Zahari Hasib.”

Zahari terus mengingatkan saya pada zaman awal berkelana di Kuala Lumpur dan beliau menjadi antara insan yang rapat. Tetapi zaman itu sudah lama berlalu, suasana berubah dan program seni dan sastera sekarang semakin eksklusif sifatnya. Zahari sudah lama tiada, tetapi Kuala Lumpur tetap mengingatkan saya kepada beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas