Artikel

Taman kelas pertama, mentaliti kelas satu

PEMANDANGAN indah Taman Tasik Danau Kota, Setapak. Air tasik begitu jernih serta trek joging dan pepohon hijau meredupi tasik.
- Diterbit 27 Mei 2022 3:30 AM MYT

KERAP kali dikatakan, apabila kita diberi kemudahan kelas pertama, mentaliti kita juga mesti kelas pertama.

Jaga kemudahan yang diberi sebaik-baiknya dengan penuh kasih sayang seperti harta sendiri. Jangan dirosakkan atau melakukan vandalisme terhadap kemudahan tersebut.

Dalam hubungan ini Adi bangga dengan sikap penduduk Taman Danau Kota, Setapak, yang menjaga dengan baik taman tasik yang ‘dihadiahkan’ oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bersantai dan beriadah.

Sehingga ini belum lagi Adi mendengar cerita mereka mencemarkan taman tasik ini seperti membuang sampah sarap merata-rata di atas daratan atau ke dalam tasik, seperti yang pernah terdengar berlaku di taman tasik atau tempat rekreasi lain di Kuala Lumpur.

Kemudahan rekreasi yang disediakan, termasuk peralatan untuk bersenam, tidak dirosakkan. Malah orang luar yang datang berehat dan berekreasi di taman tasik ini juga tidak menganggu keindahan dan kemudahan yang ada. Semangat ini sangat dihargai.

Taman Tasik Danau Kota mempunyai sejarah menarik. Ketika Taman Danau Kota mula didiami pada 1989, yang ada hanya bekas lombong dipenuhi sampah sarap.

Pendek kata, tasik tersebut menjadi tempat buangan segala jenis sampah. Permukaan tasik pula ditutupi oleh keladi bunting tebal serta rumput-rumpai.

Hanya setelah tempoh yang lama selepas taman dibuka, pihak DBKL mula memberi perhatian serius untuk memajukan bekas lombong itu dan menukarkannya daripada tasik yang kotor dan semak menjadi pusat rekreasi.

Projek ini tentunya disambut baik oleh warga Danau Kota. Malah ia sebenarnya memberi manfaat kepada seluruh warga kota, seperti juga Taman Tasik Titiwangsa atau Tasik Metropolitan di Kepong.

Inisiatif inilah yang akhirnya mentransformasi tasik berkenaan. Daripada bekas lombong dikelilingi belukar dan pasir, kini ia wujud menjadi taman tasik yang indah dikelilingi pohon-pohon rendang dan padang rumput hijau terbentang.

Taman Tasik Danau Kota kini menjadi kebanggaan penduduk. Danau Kota. Rumput-rampai dan keladi bunting menutup permukaan yang dahulu menutup permukaan sudah berganti dengan kejernihan air membiru menggamit pengunjung.

Memang sesuai bagi mereka yang ingin mencuba tempat berlainan untuk bersantai dan beriadah, selain tempat yang biasa dikunjungi.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membersih dan memperindah tasik tersebut untuk menjadikannya taman awam yang menarik.

Pada waktu pagi atau petang ramai yang memenuhi kawasan tasik untuk bersantai dan beriadah atau membawa keluarga bersiar-siar.

Mengimbau transformasi tasik, projek yang menelan belanja RM5.5 juta itu dimulakan oleh DBKL dengan melaksanakan program pengindahan dan naik taraf dalam dua fasa.

Fasa pertama melibatkan pembangunan infrastruktur asas, kerja tanah, landskap, laluan trek joging dan pembaikan pagar keselamatan. Projek ini mengambil masa dua tahun dari 2012 hingga 2014 dengan kos RM2 juta.

Pembangunan fasa kedua pula melibatkan kerja-kerja naik taraf kemudahan seperti pejabat taman, parkir kereta, taman permainan, tandas, wakaf dan plaza melibatkan kos RM3.5 juta. Projek ini dilaksanakan dari tahun dari 2017 hingga 2019.

Hasilnya, terbentang indah taman tasik. Airnya jernih membiru. Pokok-pokok rendang memagari serta meredupi persekitaran, menambah cantik pemandangan. Taman tasik ini dirasmikan oleh mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan pada Oktober 2019.

Sebagai pusat aktiviti riadah dan rekreasi, selain trek joging mengelilingi tasik, Taman Tasik Danau Kota dilengkapi antaranya dengan gim luaran atau ‘outdoor gym’ serta refleksologi.

Tempat letak kereta pula strategik kerana berhampiran dengan kawasan tasik untuk kemudahan pengunjung. Taman dibuka dari pukul 6 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Kawasan ini juga sangat sesuai untuk mengambil gambar atau ‘photo shoot’ bagi pasangan pengantin baharu berlatar belakang keindahan tasik dan kawasan sekeliling yang menghijau.

Adi perhatikan ramai pasangan pengantin baharu menjadikan taman tasik ini tempat mengabadikan kenangan perkahwinan.

Kedudukan Taman Tasik Danau Kota strategik kerana bersebelahan dengan pusat beli-belah Setapak Central, juga AEON Big dan Surau Al-Falah, Danau Kota. Penat beriadah boleh pergi membeli belah atau menjamu selera di Setapak Central atau AEON Big. Boleh juga menonton wayang di Setapak Central.

Apabila masuk waktu boleh bersolat di Surau AlFalah. Jika ingin menjamu selera di persekitaran, ada restoran, restoran makanan segera, gerai serta trak makanan (food truck).

Nor Hisham Ahmad ketika merasmikan taman tersebut memuji langkah DBKL melalui Jabatan Pembangunan Lanskap dan Rekreasi menaik taraf kawasan lombong dan belukar menjadi sebuah taman awam yang indah menarik.

Beliau berharap kemudahan yang disediakan mampu memupuk minat beriadah di kalangan penduduk Taman Danau Kota dan warga kota keseluruhannya.

Cuma ingatan diberi, jagalah taman dan kemudahan yang disediakan, jangan lakukan kerosakan.

Adi gembira pesanan ini sentiasa diambil ingatan. Kerana itulah taman tasik berkenaan terjaga rapi dan sentiasa bersih sepanjang masa.

Luas keseluruhan Taman Tasik Danau Kota ialah 13.25 hektar, merangkumi kawasan kolam takungan seluas 6.95 hektar. Ia boleh diakses melalui Jalan Genting Kelang berhampiran Setapak Central.

Boleh juga masuk melalui Surau Al-Falah. Ada laluan masuk berpagar dari surau tersebut yang dibuka menurut waktu taman beroperasi.

Selain boleh berjoging keliling taman atau bersenam di padang tasik, boleh bersenam meregang badan. Wakaf untuk berehat juga disediakan.

Atau pengunjung boleh bersantai di tepi tasik sambil menikmati hembusan bayu yang membelai lembut permukaan tasik. Keheningan lebih terasa di sebelah pagi atau petang ketika matahari hampir terbenam.

Adi syorkan mereka yang belum pernah datang ke Taman Tasik Danau Kota, datanglah bersantai atau beriadah untuk merasai sendiri kedamaian dan ketenangan taman tasik ini. Bawa keluarga bersama. Sekali datang pasti tak lupa.

Adi — Suka bersantai di taman – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas