Berita

KKM buka permohonan sertai pasukan perubatan ke Gaza

ZALIHA ketika melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah.
- Diterbit 15 November 2023 7:49 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membuka permohonan kepada pegawai perubatan yang mahu menyertai pasukan perubatan ke Gaza, Palestin.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata permohonan itu dibuka secara dalam talian yang di mana pasukan perubatan sukarelawan terbabit akan dihantar sebaik sahaja kebenaran memasuki negara bergolak itu diberikan.

“Kita sudah buka permohonan secara dalam talian untuk mana-mana anggota kesihatan yang bersedia dihantar ke sana.

“Kita juga akan melaksanakan latihan kepada mereka, tetapi setakat ini saya tiada data berapa jumlah keseluruhan yang sudah mengemukakan permohonan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah di kementeriannya hari ini.

Tambah Zaliha, latihan bersesuaian akan diberikan kepada pasukan perubatan itu kerana akan terlibat dalam merawat mangsa-mangsa bencana peperangan.

“Kita berdepan dengan peperangan, latihan itu dari sudut fizikal, mental dan emosi kerana berdepan dengan peperangan ini, ia satu perkara yang sangat menekan.

“Jadi dari sudut persediaan lain-lainnya, saya yakin anggota kesihatan ini, mereka memang bersedia dari sudut rawatan dan sebagainya,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas