Berita

Harimau Malaya harap permulaan sempurna menentang Kyrgyzstan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 15 November 2023 7:45 AM MYT

SKUAD Harimau Malaya mengharapkan permulaan sempurna dengan memenangi perlawanan menentang Kyrgyzstan pada aksi pembukaan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan Gon berkata Malaysia yang berada di ranking ke-137 dunia akan memburu tiga mata pada setiap perlawanan dalam kempen kelayakan menentang skuad “The White Falcons” yang menduduki ranking lebih tinggi iaitu tangga ke-97.

Pengendali berusia 54 tahun dari Korea Selatan itu berkata tiga mata pada perlawanan pertama sangat penting dalam misi pasukan mencipta sejarah dan layak ke pusingan ketiga kelayakan.

“Kita mempunyai enam perlawanan, tidak tahu (mungkin) menentang Oman kita boleh buat kejutan, mungkin dapat enam mata ketika bertemu Taiwan, kita tidak pasti tetapi setiap perlawanan kita mencari tiga mata.

“Kita akan cuba mendapatkan tiga mata esok, jika dapat kita gembira, kalau sebaliknya kita masih ada lima perlawanan lagi … pertemuan esok penting buat pasukan, tiga mata yang sangat mustahak,” katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini hari ini.

Mengluas lanjut, Pan Gon berkata matlamat pasukannya adalah untuk melepasi pusingan kedua kelayakan dan menjadi antara 18 pasukan terbaik layak ke pusingan ketiga.

Beliau berkata beberapa pihak mungkin mentertawakan misi itu memandangkan kedudukan terkini Malaysia ialah pasukan ke-24 terbaik di Asia, tetapi beliau optimis bahawa anak buahnya mampu memberi kejayaan.

“Kita mahu ke peringkat 18 terbaik (pusingan ketiga), itu sasaran jelas kita, tetapi sudah pasti ia cabaran besar kerana kita berada di ranking ke-137 dunia tetapi mempunyai impian untuk menjadi 18 terbaik, orang lain mungkin ketawa tetapi inilah impian kita.

“Kita benar-benar mahu menjadi antara 18 terbaik untuk mencabar pasukan berkualiti tinggi di Asia, selepas itu kita juga mahu mencipta satu lagi impian,” katanya.

Jika berjaya, Pan Gon berkata ia akan menjadi sejarah buat Malaysia dalam melangkah ke Piala Dunia selepas sering terkandas pada pusingan kedua kelayakan dalam percubaan sebelum ini.

Sementara itu, pemain pertahanan Matthew Davies berkata keserasian pasukan semakin baik sejak lima bulan lepas dan kesemua pemain bersedia berjuang untuk mendapatkan dua slot teratas Kumpulan D.

“Sekarang, kami mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik, menghabiskan masa bersama-sama dan saling memahami, kami rasakan ada momentum yang baik jadi harap dapat meneruskannya ke perlawanan esok,” kata pemain Johor Darul Ta’zim berusia 28 tahun itu.

Menjelang pertembungan esok, rekod pertemuan memberi kelebihan kepada Kyrgyzstan selepas menang 1-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Melaka pada 2018.

Selepas Kyrgyzstan dan di tempat lawan dengan Taiwan pada 21 November, Malaysia dijadual bertemu Oman di tempat lawan dan di sini masing-masing pada 21 dan 26 Mac tahun depan, diikuti Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun di Bukit Jalil. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas