Fokus

Kiosk buku warna-warni di taman Putrajaya

ORANG awam mengambil peluang membaca di kiosk buku yang disediakan di tempat awam. - Gambar hiasan
- Diterbit 15 Februari 2020 2:34 AM MYT

BAK kata pepatah membaca adalah jambatan ilmu. Amalan itu bukan sahaja dapat meningkatkan taraf kehidupan seseorang bahkan menjadi salah satu perkara yang penting dalam pendidikan mahupun kehidupan.

Di negara luar misalnya, budaya membaca telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka antaranya Belanda yang mana masyarakat di sana sangat mengutamakan budaya membaca sedari kecil lagi.

Dalam menuju arus kemodenan, Malaysia juga tidak terkecuali untuk sama-sama menghidupkan budaya membaca dalam kalangan rakyatnya yang berbilang kaum.

Pelbagai usaha dijalankan bersempena Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC 2020) antaranya kempen Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030 dengan slogan #MalaysiaMembaca.

PELBAGAI genre buru disediakan di Kios buku.

Terbaharu, ke arah menyokong pelaksanaan kempen tersebut, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah mengambil inisiatif dengan menyediakan lima unit kiosk buku untuk menyokong aktiviti berkaitan pembacaan.

Menariknya, kiosk buku kecil berwarna-warni ini ditempatkan di taman rekreasi awam yang menjadi tumpuan orang ramai antaranya di Taman Saujana Hijau, Presint 11; Laman SGD; Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3; Pusat Pelawat, Taman Wetland, Presint 13; Taman Seri Empangan dan Kaunter Tiket Cruise Tasik bermula 30 Januari lalu.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Komuniti Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Nornie Masiha Ab. Manan, objektif utama pemasangan kiosk buku itu adalah untuk membentuk masyarakat berilmu dengan membudayakan
amalan membaca.

“Bagi mencapai matlamat kempen tersebut, PPj memainkan peranan dengan menyediakan pembangunan, infrastruktur buku dan menyokong aktiviti berkaitan pembacaan di serata lokasi.

“Buku-buku yang disediakan bukan sahaja untuk golongan dewasa bahkan kanak-kanak juga tidak terkecuali. Antara buku yang terdapat di dalam kiosk ini adalah buku bacaan umum seperti buku sastera, buku kanak-kanak serta komik topik sains yang diterbitkan ITBM,” ujarnya kepada WK2.

Katanya, pengunjung juga dialu-alukan untuk menyumbang dan berkongsi bahan bacaan yang sesuai untuk manfaat pembaca lain. Namun, jika bahan bacaan tersebut berkurang, pihak PPj menerusi ITBM akan menambah kembali bilangannya.

KIOS buku turut ditempatkan di kawasan rekriasi Taman Saujana Hijau.

“Kita tidak dapat menolak kemungkinan segelintir pengunjung membawa balik buku tersebut. Namun setakat ini, kita sentiasa memantau agar bahan bacaan yang disediakan tidak kurang daripada 50 buah buku bagi setiap kiosk,” ujarnya.

Nornie berkata, pihaknya merancang untuk menambah jumlah lokasi ditempatkan kiosk buku tersebut namun buat masa ini tempoh percubaan dilakukan bagi melihat sejauh mana keberkesanan dan maklum balas daripada orang terhadap kemudahan bahan bacaan itu.

“Insya-Allah, jika terdapat perkembangan positif, kami akan menambah baik kiosk yang sedia ada. Paling penting, semoga ini dapat menghidupkan budaya amalan membaca sekali gus menjayakan Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030.

“Kiosk buku ini mampu menyumbang kepada hasrat kerajaan yang ingin merealisasikan masyarakat berilmu serta mencerdikkan akal budi bangsa demi masa hadapan negara Malaysia yang lebih cemerlang,” ujarnya.

Besar harapannya agar pengunjung taman awam serta komuniti di sekitar Putrajaya khususnya dapat menjaga dengan sebaik-baiknya kiosk ini dan menjauhi perbuatan vandalisme.

“Sepanjang pemantauan kami, sambutan yang diterima tidak menghampakan malah setiap hujung minggu, ramai pengunjung bertumpu di kawasan kiosk buku untuk menikmati bahan bacaan yang disediakan,” kata Nornie.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas