Biz

SSPN catat dividen 4 peratus, rekod keuntungan RM205.2 juta

WAN SAIFUL (dua dari kanan) dan Ahmad Dasuki (dua dari kiri) menunjukkan kadar dividen SSPN 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 6:06 AM MYT

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak empat peratus bagi tahun 2019.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian dividen itu adalah bagi dua produk simpanannya Skim Simpanan Pendidikan Nasional 2018 iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus yang melibatkan peruntukan berjumlah RM147.25 juta dan memberi manfaat kepada lebih 4.39 juta pendepositnya.

“Kadar dividen empat peratus yang diberikan kepada pendeposit SSPN adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang telah diterima PTPTN.

“Selain itu, ia hasil kesungguhan dan kecekapan pengurusan serta pegawai kita menguruskan dana itu walaupun dalam suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan,’’ katanya dalam Majlis Pengumuman Dividen SSPN 2019 dan Pelancaran Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2020.

Hadir sama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid. Sehingga kini, dividen SSPN sebanyak RM647.65 juta telah diagihkan kepada pendeposit.

Wan Saiful berkata, ibu bapa yang mencarum turut diberi insentif pelepasan cukai pendapatan hingga RM6,000 dan pendeposit dilindungi skim takaful sehingga RM1 juta dengan jaminan kerajaan serta patuh syariah.

“Keuntungan SSPN tahun 2019 sebanyak RM205.27 juta ini merupakan keuntungan tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah PTPTN,” katanya.

Beliau berkata, prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 25.52 peratus atau kira-kira RM41.73 juta berbanding RM163.54 juta pada tahun 2018.

Katanya, berdasarkan pelbagai keistimewaan SSPN yang diberikan kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, perlindungan takaful, dividen yang kompetitif dan juga Ganjaran Kesetiaan, pendeposit SSPN sebenarnya mendapat keuntungan bukan setakat empat peratus,” katanya.

PTPTN berjaya mengu tip deposit SSPN pada 2019 sebanyak RM1.37 bilion sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi sejak produk itu diwujudkan pada tahun 2004.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas