Berita

KiKaKo Kids maskot rasmi Taman Tema Wetland Studios Putrajaya, mula dibuka 1 Mei ini

||||||||
- Diterbit 5 Mac 2023 2:06 PM MYT

SECARA rasminya, maskot bernama KiKaKo Kids diperkenalkan kepada umum hari ini sebagai tarikan pelancong bagi Wetland Studios Putrajaya yang terletak di dalam Taman Wetland Putrajaya.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud sewaktu menyempurnakan majlis pelancaran berkata, pihaknya berasa sangat teruja dengan pendekatan digunakan KRU Group selaku pemilik bersama untuk mempromosikan taman tema tersebut.

“Kami sangat teruja dengan pendekatan dibuat oleh pihak KRU ini. Mereka bukan sahaja bagus dalam membuat perancangan strategik, tetapi juga keupayaan dalam membentuk kerjasama dengan pelbagai organisasi besar.

“Ia termasuklah jalinan penglibatan syarikat rakaman Universal Music, bagi mempromosikan taman bencah dan taman rekreasi kami dalam konteks yang lebih menyeluruh,” ulas beliau.

PRESIDEN Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud (Kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim ketika menyempurnakan majlis pelancaran KiKaKo Kids Maskot Rasmi Taman Tema Wetland Studios Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim menjelaskan, taman berkonsep didik hibur itu bakal disajikan dengan pelbagai informasi dan pengetahuan berkenaan kehidupan bumi

“KiKaKo Kids sebenarnya terdiri daripada tiga watak iaitu Kiki, Kaka dan Koko yang merupakan titisan air tinggal di awan.

“Tujuan ketiga-tiga maskot ini diwujudkan sebagai gambaran perspektif luas seperti dilihat titisan-titisan hujan tersebut yang berada tinggi di langit biru,” kata Norman menjelaskan peranan KaKiKo Kids.

KiKaKo Kids terdiri daripada tiga watak iaitu Kiki, Kaka dan Koko yang merupakan titisan air tinggal di awan.

Tambah beliau, para pengunjung akan menempuhi satu pengalaman unik dan berbeza jika dibandingkan dengan taman-taman tema sedia ada.

“Mereka akan dibawa memasuki alam hibrid secara maya dan fizikal, tetapi pada masa sama dapat mendalami tentang sejarah bumi dan makhluk yang hidup di permukaannya.

“Terutamanya, taman tema berkonsep didik hibur ini akan memupuk kesedaran tentang peranan penting air terhadap ekosistem pelbagai hidupan seperti mamalia, reptilia, amfibia, ikan, burung, pokok, bunga dan lain-lain.

ORANG ramai terutamanya kanak-kanak teruja dengan tarikan yang ada di Wetland Studios Putrajaya.

Tarikan di Wetland Studios Putrajaya merangkumi aset fizikal seperti replika haiwan animatronik serta hiasan berkonsepkan alam semula jadi.

Lebih canggih, seperti mana penonton menyaksikan karya-karya milik KRU, taman tema tertutup itu turut memanfaatkan kemajuan teknologi seperti hologram, realiti tambahan (AR), realiti campuran (MR) serta realiti maya (VR) dan juga kandungan digital animasi KiKaKo Kids sebagai tarikan.

Sempena Hari Terbuka Putrajaya 2023, Wetland Studios Putrajaya menawarkan diskaun 20 peratus untuk pengunjung yang membuat pendaftaran awal dan boleh ditebus bermula 1 hingga 31 Mei 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas