Berita

Kesesakan lalu lintas Kuala Lumpur tiada kesudahan?

PERTAMBAHAN kenderaan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.
- Diterbit 5 Jun 2022 2:00 AM MYT

BAGAIKAN tiada penyudahnya kesesakan lalu lintas yang semakin teruk khususnya di ibu negara, Kuala Lumpur. Malah ia semakin bertambah teruk sebaik sahaja negara memasuki peralihan ke fasa endemik mulai 1 April lalu.

Justeru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)membuat kajian terperinci bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Situasi ini juga mendapat perhatian Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias lantas mengumumkan beberapa pendekatan yang akan diputuskan dalam masa terdekat untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Beberapa pendekatan akan diambil dan antaranya ialah pengurusan sistem lampu isyarat di pusat bandar dan pinggir bandar yang diuruskan oleh dua syarikat berbeza perlu diselaraskan terlebih dahulu bagi memastikan trafik tidak tersekat di mana-mana,” kata beliau.

Ia juga turut mendapat maklum balas daripada warga Kuala Lumpur yang terkesan dengan keadaan tersebut. Bagi menyelami situasi sebenar, Wilayahku  sempat mendapatkan respons daripada pengguna jalan raya sendiri.

TIDAK GUNA PENGANGKUTAN AWAM 

– Muhammad Kamaruddin  Mohd Razal

KAMARUDDIN

“RAMAI yang guna kenderaan sendiri kerana kurang akses dengan pengangkutan awam. Sama ada pengangkutan awam jauh dari lokasi kediaman atau tempat kerja, itu antara faktor membuatkan ramai memilih untuk menaiki kenderaan sendiri.

“Walaupun tujuan kenderaan awam seperti MRT, LRT, monorel dan komuter diwujudkan, Kesesakan jalan raya tetap berlaku. Situasi ini seolah-olah tiada penyelesaiannya. Dalam masa yang sama, saya juga tertanya-tanya kenapa sambutan terhadap kenderaan awam kurang mendapat sambutan.”

PENJAJA JANGAN PENTINGKAN  DIRI

ZAHIRAH RAHIM

“PENJAJA di tepi jalan sememangnya menyumbang kepada kesesakan lalu lintas kerana ada segelintir pembeli berhenti dan memarkir kereta di bahu jalan tanpa memikirkan keselamatan dan memberi kesusahan kepada orang lain.

“Jadi adalah lebih baik jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab memandang serius akan isu ini dan mengambil tindakan. Pihak penjaja juga perlu memainkan peranan penting agar tidak bersikap selfish.”

PENYELENGGARAAN JALAN TIDAK BERHENTI

SUDIRMAN TAHIR

“TIDAK dinafikan banyak punca kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur. Antaranya adalah penyelenggeraan jalan yang tiada berkesudahan. Kita dapat tengok, baik jalan dalam negeri, Kuala Lumpur atau lebuh raya, penyelenggaraan tak berhenti. Sentiasa ada tanpa mengira waktu. Setiap masa ada.

“Apabila kerja-kerja itu dilakukan ketika waktu puncak seperti orang sedang balik atau pergi kerja, jadi jalan raya akan bertambah-tambah sesak. Sepatutnya kerja-kerja penyelenggaraan ini dilakukan ketika jalan raya tidak dipenuhi kenderaan. Misalnya waktu tengah malam dan sebelum Subuh.

“Selain itu, perlu ada pemantauan rapi. Ada kenderaan-kenderaan berat seperti lori dibenarkan masuk di waktu puncak, maka lori itu boleh menyebabkan jalan raya bertambah sesak.”

PANTAU KERJA-KERJA PEMBAIKAN JALAN

KELLY AZMAN

“JALAN raya antara kegunaan utama rakyat. Jadi, kerajaan perlu lebih serius dan tegas dalam memantau kerja-kerja penyelenggaraan. Apabila ada projek pembinaan atau kerja-kerja pembaikan, biarlah semua itu selesai tepat pada waktu yang telah ditetapkan.

“Kalau melebihi tempoh yang ditetapkan ia akan menyukarkan keadaan. Maka, mulalah mereka buat kerja pada waktu orang pergi dan balik kerja sebab nak cepat siap. Belum lagi kita lihat projek-projek di jalan raya sekitar Kuala Lumpur yang terbengkalai. Ini juga antara perkara yang harus dipandang serius oleh kerajaan.”

JUMLAH KENDERAAN BERTAMBAH PUNCA JALAN SESAK

MARINA

“BAGI saya, kadar pembelian kenderaan yang semakin meningkat jumlahnya antara punca kesesakan jalan raya. Bayangkan, saya pernah terbaca di media sosial, berpuluh-puluh ribu kenderaan baharu dibeli dan didaftarkan dalam tempoh hanya beberapa bulan.

“Selain itu, jumlah kenderaan berdaftar sehingga hari ini adalah sebanyak 33 juta iaitu hampir menyamai bilangan penduduk di negara ini menjadi punca utama kesesakan trafik di bandar dan jalan-jalan utama.

“Pertambahan jumlah kenderaan ini menyebabkan mereka kurang menggunakan pengangkutan awam yang hanya akses ke tempat-tempat tertentu sahaja.” – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas