Berita

Kempen Beli Barangan Malaysia, Kempen Jualan Malaysia akan dilancar

USAHAWAN wanita turut serta menjual produk kraftangan dalam Program Usahawan Wanita 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 19 Jun 2020 9:16 AM MYT

KEMPEN Beli Barangan Malaysia dan Kempen Jualan Malaysia akan dilaksanakan ketika negara memasuki fasa pemulihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, dua kempen itu adalah antara inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membantu merancakkan kembali sektor peruncitan negara yang terjejas berikutan pelaksanaan PKP dalam mengawal penularan pandemik Covid-19.

“KPDNHEP sudah merancang dua program besar ini dan kini dalam persediaan terakhir dan pelancaran kempen itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan platform beli-belah dalam talian, Shopee, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah timbalannya, Datuk Rosol Wahid, Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan dan Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas Shopee Malaysia, Tan Ming Kit.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas