Berita

Si lincah derita masalah usus, perkumuhan dibantu

ZAIZALNIZAM (kiri) menyerahkan sumbangan YWP kepada Aqil. AQIL perlu 16 pembedahan menampal kulit untuk menutup usus diperutnya.
- Diterbit 19 Jun 2020 9:46 AM MYT

SIAPA sangka si lincah berusia 4 tahun ini mempunyai masalah kesihatan yang rumit sejak dilahirkan.

Mohd Syafrullah Aqil yang lebih mesra dengan panggilan Aqil bukan hanya menghadapi masalah usus terkeluar malah tidak mempunyai sistem pembuangan perkumuhan di badannya selain terpaksa bergantung sepenuhnya kepada beg takungan najis.

Aqil juga perlu menjalani 16 pembedahan bagi menampal kulit untuk menutup usus di perutnya dan kini telah menjalani tiga pembedahan manakala pembedahan keempat yang dijadualkan Mac lalu terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain mempunyai risiko yang tinggi, Aqil juga mudah dijang- kiti kuman kerana pundi kencing berada di luar tubuh dan situa- sinya itu menyukarkan dia dijaga pengasuh.

Keadaan yang dialami itu menyebabkan ayahnya, Mohd Hairulnizam Abd Rahman, 41, yang berniaga sate di sekitar Ampang tidak dapat bekerja bagi menjaganya di rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Wilayah Persekutuan.

Menurut bapa kepada empat orang anak, kini, dia dan anak-anaknya bergantung sepenuhnya kepada hasil pendapatan isteri yang bertugas di sebuah syarikat swasta.

AQIL perlu 16 pembedahan menampal kulit untuk menutup usus diperutnya.

“Aqil perlu menjalani pembedahan setiap tahun dan dijangka sehingga umurnya 16 tahun. Saya bersyukur kerana syarikat isteri bekerja dapat menanggung kos pembedahan Aqil, cuma lebihan kos sahaja yang terpaksa ditampung.

“Paling tinggi kos pembedahan adalah RM15,000 kerana dia terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi,” kata- nya yang kini cuba mendapatkan pendapatan sampingan dengan menjual barang keperluan ha- rian dari rumah.

Bagi Mohd Hairulnizam, dia akan berusaha sepenuhnya untuk mendapatkan wang bagi menyara keluarga tercinta sambil menjaga Aqil yang memerlukan perhatian lebih.

Justeru katanya, dia berharap mendapat bantuan kenderaan saji (food truck) bagi memudahkannya berniaga dan mencari rezeki untuk keluarga.

“Dengan adanya food truck ini, Aqil akan sentiasa berada di bawah pemerhatian saya. Tetapi perkara ini perlu diteliti sebaik mungkin kerana dia mudah dijangkiti kuman,” ujar-nya sambil mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kerana memberikan sumbangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun berkata selain bantuan tunai yang diberikan kepada Mohd Hairulnizam, YWP juga fokus kepada kebajikan dan pendidikan anak-anaknya yang masih bersekolah.

Menurut Zaizalnizam, pihaknya juga sedia untuk menyalurkan bantuan persekolahan kepada anak-anak Mohd Hairulnizam iaitu Syafiqa Amna, 16, Syahira Aina, 14, dan Saifullah Ammar, 8, sekiranya mereka bersekolah di sekitar Wilayah Persekutuan.

“Bantuan hari ini (17 Jun) bukan sepenuhnya tetapi diharapkan ia dapat meringankan sedikit beban keluarga Mohd Hairulnizam dan kita juga melihat kebajikan anak-anaknya seperti pendidikan.

“Kita ada beberapa bantuan khas untuk persekolahan termasuk bantuan pemakanan bagi sekolah menengah,” katanya.

Mengulas tentang harapan Mohd Hairulnizam untuk memiliki food truck, jelas Zaizalnizam, YWP akan bantu untuk bukakan peluang perniagaan kepadanya selaras objektif penubuhan YWP iaitu meningkatkan taraf kehidupan warga Wilayah Persekutuan

Turut hadir, Pengerusi PPR Hiliran Ampang, Azizan Othman dan pegawai-pegawai YWP.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas