Berita

Bau busuk jejas imej Kampung Patau-Patau 1

KILANG pemprosesan ikan berhampiran Kampung Patau-Patau 1 hasilkan bau busuk.
- Diterbit 19 Jun 2020 9:12 AM MYT

SERAMAI 1000 penduduk Kampung Patau-Patau 1, Labuan terkesan akibat bau busuk daripada kilang berhampiran telah menjejaskan kesihatan dan imej kampung pelancongan itu.

Ketua Kampung Patau-Patau 1 Roslee Matusin berkata, setiap hari penduduk berdepan dengan masalah bau busuk yang datang dari kilang pemprosesan ikan yang ber­hampiran dengan kampung ini.

“Bau busuk yang dipercayai daripada pem­prosesan ikan dari kilang-kilang berhampiran akan sampai apabila angin bertiup ke arah kampung ini dan ia menyebabkan rasa tidak selesa kerana terpaksa menghidu bau busuk dari pagi ­sehingga ke malam.

“Masalah ini agak lama kami alami dan rata-rata penduduk terasa terganggu berikutan bau busuk dan ia memberikan kesan negatif kepada tahap kesihatan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Roslee berkata, Kampung Patau-Patau 1 adalah satu perkampungan pelancongan namun akibat pencemaran udara pasti menjejaskan imej kampung.

“Sebelum ini, ramai pengunjung yang datang ke kampung ini menyatakan rasa amat tidak selesa ­kerana ­terhidu bau busuk dan kami sebagai penduduk di sini agak malu kerana isu tersebut.

“Jika dilihat pemandangan kampung ini sememangnya ­sudah cantik namun malangnya mengalami pencemaran udara yang saban hari kami hadapi,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas