Berita

Kemaraan Ong Yew Sin-Teo Ee Yii mengejutkan – Boon Heong

- Diterbit 9 Disember 2022 2:31 PM MYT

BEKAS pemain beregu badminton negara Tan Boon Heong menyifatkan kejayaan beregu profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mara ke peringkat separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Bangkok, Thailand sesuatu yang mengejutkan.

“Saya sendiri tak sangka mereka berdua boleh menang untuk melangkah ke separuh akhir. Sebab mereka tewas perlawanan pertama dengan Jepun dan saya lihat mereka tak bermain dengan berapa baik.

“Selepas itu, mereka bangkit dalam dua perlawanan seterusnya. Pastinya, saya sangat terkejut dengan prestasi mereka pada ketika ini. Saya harap mereka lebih bersemangat menjelang perlawanan separuh akhir dan lakukan terbaik,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu Yew Sin-Ee Yi selaku pilihan ketiga kejohanan mencipta sensasi menewaskan pilihan utama Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia 10-21, 21-17, 21-19  dalam perlawanan selama 53 minit di Nimibutr Arena.

Kemaraan Yew Sin-Ee Yi diiringi beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menundukkan beregu tuan rumah Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran, 21-17, 22-20, untuk layak ke separuh akhir yang akan berlangsung esok. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas