Berita

Kejohanan olahraga terbuka Malaysia ditangguhkan

- Diterbit 11 Mei 2021 11:02 AM MYT

MESYUARAT Khas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini bersetuju menangguhkan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil pada Jun depan susulan situasi semasa pandemik COVID-19.

Presiden KOM Datuk S.M. Muthu berkata penangguhan tersebut terpaksa dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk pergerakan dan keselamatan atlet serta pegawai terlibat.

Jelasnya KOM turut enggan mengambil risiko meneruskan kejohanan tersebut biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara dijadual berakhir sebelum tarikh asal penganjuran kejohanan itu pada 11 hingga 13 Jun.

Muthu berkata penangguhan kejohanan pada saat akhir  akan menambah beban kepada KOM selaku penganjur.

“Kita tidak boleh buat apa-apa sebab ia melibatkan keadaan semasa COVID-19 di negara kita, keselamatan yang paling penting kepada semua atlet. Kalau boleh kita (KOM) mahu anjurkan banyak aktiviti tetapi masa ini kes positif sedang meningkat,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meruncing.

Sementara itu, Muthu berkata KOM yang komited menganjurkan pelbagai aktiviti akan kembali bersidang pada bulan depan bagi menentukan tarikh baharu Kejohanan Terbuka Malaysia.

KOM sebelum ini berjaya menganjurkan Kejohanan Grand Prix Malaysia dari 10 hingga 11 April lepas di lokasi sama, iaitu kejohanan kompetitif pertama buat sebahagian besar atlet negara sejak penularan pandemik COVID-19 tercetus pada Mac tahun lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas