Berita

KBSL 2019 cungkil bakat baharu ke SUKMA

- Diterbit 13 November 2019 5:32 AM MYT

LABUAN – Karnival Bakat Sukan Labuan 2019 (KBSL 2019) yang dianjurkan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) bermula Sabtu ini bakal merancakkan lagi pembangunan sukan di wilayah ini sekali gus menjadi platform pemilihan atlet ke Sukan Malaysia (SUKMA).

Karnival bakat yang julung kali diadakan ini bertujuan memberi peluang kepada anak muda Labuan khususnya yang berumur 16 tahun ke bawah untuk didedahkan dengan kejohanan yang kompetitif dan berbentuk karnival.

MSWP dalam satu kenyataan menjelaskan, penganjuran karnival ini juga mampu dijadikan sebagai medan baharu untuk mencungkil dan mengenal pasti bakat-bakat baharu dari Labuan yang berpotensi mewakili Wilayah Persekutuan khususnya ke temasya SUKMA.

“Pada edisi kali ini, kita akan memberi tumpuan kepada enam acara sukan iaitu Boling Padang, Bola Tampar Pantai, Olahraga, Petanque, Badminton dan E-Sport. Sukan-sukan ini turut dipertandingkan di SUKMA Johor yang dijangka berlangsung pada Julai kelak,” ujarnya.

Penganjuran KBSL 2019 selama dua hari turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Labuan, Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Jabatan Pendidikan Labuan, Persatuan Sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.

Terdahulu, pelaksanaan karnival bakat sukan ini merupakan salah satu program di bawah Bakat Sukan Wilayah Persekutuan (BSW) yang telah dilancarkan pada Mac lalu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas