Berita

KTMB umum jadual baharu tren mulai 16 November

TREN KTM. - Gambar hiasan
- Diterbit 12 November 2019 11:02 AM MYT

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) mengumumkan jadual baharu bagi semua perkhidmatan KTM Komuter, berkuat kuasa 16 November ini ekoran bermulanya kerja-kerja menaik taraf infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 1 dan 2.

KTMB dalam kenyataannya berkata, kedua-dua fasa itu adalah bagi menaik taraf landasan berusia lebih 25 tahun di samping menyelenggara dan menambah baik sistem elektrik, komunikasi dan stesen-stesen terbabit.

Kata kenyataan itu, penjadualan tersebut melibatkan 20 perkhidmatan komuter bagi laluan Batu Caves – Pulau Sebang yang akan bermula dan tamat di Stesen Kajang, Selangor.

JADUAL laluan baharu KTM.

”Penumpang boleh meneruskan perjalanan ke Pulau Sebang dari Stesen Kajang untuk ke destinasi berikutnya manakala bagi laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang – Tanjung Malim, perkhidmatan tren komuter akan beroperasi menggunakan satu landasan antara Rawang dan Kepong.

”Terdapat 14 perkhidmatan tren komuter dari laluan Tanjung Malim yang akan bermula dan tamat di Stesen Sungai Buloh. Penumpang boleh menyambung perjalanan ke destinasi masing-masing dengan menggunakan pengangkutan alternatif yang berintegrasi di stesen itu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja pemulihan landasan yang menghubungkan sektor Lembah Klang dilakukan untuk mengurangkan kelewatan dan mengelakkan pembatalan perkhidmatan akibat kerosakan landasan.

Selain itu, katanya, kedua-dua fasa tersebut juga bertujuan meningkatkan mutu dan keselamatan perkhidmatan KTM Komuter, tren elektrik (ETS), Skypark Link dan KTM Kargo.

Projek KVDT1 melibatkan sektor Rawang – Salak Selatan dan Simpang Batu – Sentul yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun depan manakala KVDT2 yang melibatkan sektor Kuala Lumpur Sentral – Pelabuhan Klang dan Salak Selatan – Seremban pula dijangka siap pada September 2026.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar merujuk jadual waktu terkini bagi maklumat lanjut di www. ktmb.com.my atau menerusi aplikasi MyRailtime atau di stesen-stesen berhampiran.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook KTM Berhad, Twitter@ktm_berhad; Intagram@ktmbofficial atau hubungi Pusat Panggilan KTMB yang beroperasi 24 jam di talian 03- 2267 1200. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas