Berita

Miros dan Babylab lancar video PSA Tahun Baharu Cina

|
- Diterbit 10 Februari 2021 10:24 AM MYT

INSTITUT Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan sebuah syarikat menjual barangan bayi Babylab hari ini melancarkan satu video pesanan khidmat masyarakat (PSA) bertujuan meraikan Tahun Baharu Cina di samping memberi kesedaran supaya rakyat sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Unit Korporat dan Pengurusan Ilmu Miros dalam kenyataan memaklumkan Video PSA bertajuk, Be Fruitful and Safe itu meminta masyarakat memberi penekanan kepentingan pemakaian peralatan pengekang dan perlindungan peribadi seperti tali pinggang keledar, kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dan topi keledar sebelum memulakan perjalanan.

“Tali pinggang keledar terbukti mampu melindungi pemandu dan penumpang kenderaan daripada sebarang ancaman pergerakan yang boleh membahayakan ketika berlakunya perlanggaran trafik atau kenderaan berhenti secara mengejut serta mengurangkan risiko kematian atau kecederaan parah sebanyak 50 peratus.

“Penggunaan CRS yang dipasang dengan betul dan sesuai dengan ketinggian serta berat badan kanak-kanak dapat  membantu mengurangkan risiko kematian bayi sebanyak 71 peratus dan 54 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kajian Miros menunjukkan kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar pada tahun 2020 untuk pemandu adalah 90 peratus dan 70 peratus untuk penumpang hadapan, tetapi hanya 11 peratus untuk penumpang belakang.

Video yang turut menampilkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong itu boleh ditonton menerusi laman Facebook dan Twitter Miros serta boleh dimuat turun dengan klik ke pautan https://cloud.miros.gov.my/cloud/index.php/s/nyb7eczzjpB5qko. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas