Berita

Karnival Putrajaya 2022 meriah, lebih 55 aktiviti

SHAHIDAN (kanan) ketika Majlis Perasmian Karnival Putrajaya 2022 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.
- Diterbit 24 September 2022 3:24 PM MYT

BERKONSEPKAN hiburan bermaklumat, lebih 55 aktiviti menarik kembali memeriahkan Karnival Putrajaya 2022 yang berlangsung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 23 hingga 25 September di Dataran Putrajaya dan perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya lalu.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, program tersebut dapat dilaksanakan dengan hasil kerjasama strategik yang berterusan oleh semua pihak terlibat.

“Antara program tersebut adalah Program Putrajaya Berselawat, Bazar Usahawan, Karnival Pendidikan dan Haluan Kerjaya, Belon Udara Panas, Pertandingan Mewarna, Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat, Persembahan Kesenian dan Kebudayaan, Sesi Bersama Ikon Usahawan & Sukan Negara, Pertandingan Mereka Bentuk Edible Landskap, Persembahan Maskot & Costplay, Konsert Riuh KLFM @ Putrajaya, Kayuhan Ceria, Pertandingan Fitness Putrajaya, Sukan Rakyat Keluarga Putrajaya dan banyak lagi.

“Saya yakin dan percaya aktiviti-aktiviti riadah sebegini pastinya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai terutamanya anak muda.

“Secara tidak langsung, karnival ini juga dapat meningkatkan sistem penyampaian Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku Pihak Berkuasa Tempatan menerusi penglibatan komuniti,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival Putrajaya 2022 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya baru-baru ini.

Selain itu, Shahidan berkata acara pada hari itu turut memfokuskan kepada Pelancaran Kempen Kebersihan Perbadanan Putrajaya (BeST Putrajaya).

“Objektif utama kempen tersebut adalah untuk memastikan Putrajaya bersih di setiap tempat. Antara aktivitinya adalah tindakan memperkasa kaedah pencucian di kawasan-kawasan awam yang utama dan aktiviti-aktiviti kebersihan seperti plogging, gotong-royong dan pendidikan kesihatan serta kebersihan tandas,” katanya.

Dalam masa sama, Shahidan turut mengumumkan Karnival Putrajaya anjuran PPj itu berkemungkinan besar bakal diadakan dengan lebih kerap sepanjang tahun untuk disambut oleh seluruh anggota masyarakat Putrajaya.

Insya-Allah, buat permulaan ia mungkin boleh diadakan dua kali setahun sebab kita dapat lihat sendiri kiri dan kanan saya penuh sesak sepanjang hari,” tambah beliau.

Selain itu, karnival yang membuka tirai pada 23 September ini turut dimeriahkan dengan Program Putrajaya Berselawat yang menghimpunkan ribuan komuniti setempat.

Ia turut disertai barisan kepimpinan Kementerian Wilayah Persekutuan, PPj, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP), pelajar-pelajar sekolah Putrajaya serta selebriti jemputan antaranya Fakhrul UNIC, Kumpulan InTeam, Afad Raihan dan tausiah bersama Al-Fadhil Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Al-Fadhil Ustaz Imam Muda Asyraf.

Lebih menarik, pihak PPj turut menyediakan sebanyak 300 hadiah cabutan bertuah berjumlah lebih RM100,000 kepada pengunjung yang hadir.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Ruzain Idris dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud.

Penganjuran Karnival Putrajaya 2022 yang diadakan pada pukul 8 pagi hingga 10 malam itu mendapat sokongan daripada rakan strategik utama iaitu agensi kerajaan, sektor korporat dan swasta serta Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas