Berita

Korea Selatan rancang bina biofoundry

- Diterbit 27 Oktober 2022 1:00 PM MYT

MENTERI Sains Korea Selatan Lee Jong-ho pada Khamis mendedahkan Seoul merancang membina biofoundry iaitu sebuah kemudahan biopembuatan bersepadu dalam usaha meluaskan pembabitan negara dalam sektor itu, lapor Yonhap.

“Kami akan mewujudkan biofoundry bagi mereka bentuk dan mengeluarkan vaksin serta ubat-ubatan secara serentak,” katanya ketika menghadiri mesyuarat kerajaan yang dipengerusikan oleh Presiden Yoon Suk-yeol.

Jong-ho berkata industri biologi memiliki permintaan pasaran global yang tinggi serta mampu mewujudkan peluang pekerjaan.

“Syer Korea Selatan dalam pasaran bio dunia mencecah dua peratus tetapi kami akan meningkatkan jumlah itu kepada dua digit dalam tempoh 10 tahun.

“Oleh itu, biofoundry yang dikendalikan kerajaan diperlukan untuk mencapai matlamat berkenaan,” katanya.

Menteri itu juga menjelaskan bahawa kerajaan berusaha membantu Korea Selatan, selaku pengeluar cip memori terbesar di dunia, berkembang sebagai pembekal utama dunia dalam pasaran bagi cip kecerdasan buatan (AI) berkuasa rendah.

“Pasaran AI Korea Selatan kini bernilai 2.2 trilion won (US$1.5 bilion) dan kerajaan akan membantu meningkatkan nilainya kepada tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas