Berita

Kalah kepada Oman: Pan Gon tetap pertahan pemain

KIM PAN GON.
- Diterbit 27 Mac 2024 2:50 PM MYT

KETUA Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon mempertahankan barisan pemainya meskipun pasukan negara kecundang 0-2 kepada Oman dalam perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

Pengendali dari Korea Selatan itu berpandangan kegagalan pasukannya mempamerkan potensi sebenar dalam perlawanan itu berpunca daripada ketiadaan perlawanan yang kompetitif.

Beliau berkata kekurangan aksi kompetitif memberi kesan kepada prestasi pemain apabila mereka kelihatan tidak cukup mantap di padang, dan perkara ini pastinya akan disesali semua pihak pada masa hadapan apabila ia kelihatan menjejaskan peluang Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

“Jangan salahkan sesiapa, pemain boleh melakukan kesilapan disebabkan (berpunca) daripada bagaimana kita membentuk mereka, dalam keadaan sekarang – bila kali terakhir mereka beraksi dalam perlawanan kompetitif? Mereka bukannya mesin. Saya amat terasa apabila pemain buat silap, kerana kita sebenarnya yang membuatkan mereka berada keadaan sedemikian,” katanya.

“Mungkin selepas ini kita (pemegang taruh) akan menyesal, kerana bukan pemain yang mencetuskan keadaan ini, (sebaliknya) kita yang menjadikan situasi seperti ini, tiada perlawanan (kompetetif),” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di sini.

Anak buah Pan Gon jelas kelihatan tidak bersedia sepenuhnya untuk dua perlawanan menentang Oman, apabila tewas 0-2 di Muscat minggu lepas, selepas hanya beraksi dalam perlawanan kompetitif pada kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas.

Selain itu pemain jelas sudah lama tidak beraksi di padang kerana liga Malaysia masih belum lagi bermula, sebaliknya liga Oman sedang berlangsung, sekali gus memberikan kelebihan kepada pasukan lawan.

Kekalahan malam tadi merupakan yang kedua buat Malaysia, sekali gus menyukarkan misi negara untuk layak ke Piala Asia 2027 lebih awal dan melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Malaysia kekal di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, manakala Kyrgyzstan yang menundukkan Taiwan 5-1 pada satu lagi aksi malam tadi melonjak ke tempat teratas dan berkongsi sembilan mata bersama Oman yang menduduki tangga kedua, manakala Taiwan di tempat terakhir tanpa sebarang mata.

Hanya dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat dalam Piala Asia 2027, manakala dua pasukan tercorot akan bermain di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia akan bertandang ke Bishkek, Kyrgyzstan pada 6 Jun dan menamatkan saingan Kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Sementara itu Pan Gon berkata kecederaan dialami pemain pertahanan Muhammad Azam Azmi Murad agak serius dan kemungkinan besar akan terlepas saingan Piala Asia B-23 2024 yang bakal berlangsung di Qatar bulan depan.

Jurulatih berumur 54 tahun itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai keadaan padang yang menjadi topik hangat kebelakangan ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas