Berita

Kadar keciciran murid menurun bagi tempoh 2017 hingga 2023

- Diterbit 27 Mac 2024 1:25 PM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan kadar keciciran murid rendah dan menengah menunjukkan trend penurunan dari tahun 2017 hingga 2023.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.29 peratus pada tahun 2017 kepada 0.06 peratus pada tahun 2023.

Tambah beliau, pada peringkat menengah pula, kadar keciciran menurun daripada 1.36 peratus pada tahun 2017 kepada 0.83 peratus pada tahun 2023.

“Bagi sekolah rendah di bandar, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 0.37 peratus, manakala sekolah rendah di luar bandar adalah 0.10 peratus

“Bagi peringkat menengah pula, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 3.13 peratus di bandar dan 4.67 peratus di luar bandar. Kadar ini mengambil kira keseluruhan murid yang bersekolah di Malaysia,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) meminta KPM nyatakan kadar keciciran murid serta apakah strategi dan usaha pembaharuan Kementerian untuk mengurangkan jurang pendidikan termasuk dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Kah Woh, KPM menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun 2023 yang terdiri daripada 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum

Jelas beliau, ia adalah antara strategi dan usaha pembaharuan Kementerian untuk mengurangkan jurang pendidikan.

“KPM juga melaksanakan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) supaya semua murid dapat kekal bersekolah terutamanya murid di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Selain itu, KPM juga memperluaskan konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11) yang dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4.

“KPM juga mewujudkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang ditubuhkan pada tahun 2013 dan beroperasi di Chow Kit, Kuala Lumpur dengan tujuan memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak jalanan dan terpinggir di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, tegas beliau, KPM turut menjalankan program ‘outreach’ murid cicir di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat.

“Pada tahun 2023, program ini telah berjaya mengembalikan seramai 1,269 orang murid sekolah rendah dan 2,006 orang murid sekolah menengah ke sekolah,” katanya.

Tambah Kah Woh, Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dan program pendidikan kerjaya di sekolah merupakan satu usaha untuk mengenal pasti keperluan murid semasa sesi persekolahan dan meningkatkan kesedaran murid terhadap kepentingan belajar, menduduki peperiksaan SPM, mengembangkan potensi, sikap dan hala tuju kerjaya turut dilaksanakan oleh KPM.

“KPM yakin semua usaha serta inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan ini dapat menangani keciciran murid dan memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan negara sehingga tamat tempoh persekolahan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas